PEGAWAI di Seoul berkata, Donald Trump kini cuba meyakinkan para pekerja Korea Selatan yang ditahan semasa serbuan imigresen supaya kekal di Amerika Syarikat dan melatih rakyat Amerika sebelum mereka pulang.
Sebelum ini, ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) telah menahan lebih 300 jurutera dan subkontraktor Korea Selatan susulan satu serbuan di sebuah kilang kereta di Georgia pada 4 September. Kilang tersebut adalah usahasama antara Hyundai Motors dan LG Energy Solution.
Turut ditahan, 10 warga China, tiga warga Jepun dan seorang warga Indonesia.
Korea Selatan amat terkejut dan bimbang, tetapi mengutamakan hubungan dua hala berbanding konfrontasi dengan sekutu utama ekonomi dan strategik itu.
Serbuan tersebut mengundang kecaman apabila rakaman video menunjukkan pekerja-pekerja tersebut diikat dengan rantai di bahagian tangan, pinggang dan kaki.
Kini didedahkan bahawa Trump yang seolah-olah berasa terlanjur, telah meminta pegawainya memujuk pekerja Korea Selatan yang ditahan supaya melanjutkan tempoh mereka di negara itu dan melatih pekerja Amerika, kata para pegawai kementerian luar di Seoul dalam satu taklimat.
Alasan Trump adalah bahawa warga Korea yang ditahan itu semua pekerja mahir dan mahukan agar mereka kekal di AS untuk melatih tenaga kerja Amerika.
Kesemua pekerja yang ditahan itu pada mulanya dijadualkan terbang pulang seawal hari Rabu. Namun, pusingan-U oleh Trump itu mengakibatkan kelewatan sehari bagi pelepasan penerbangan sewa khas mereka. Penerbangan itu dijadualkan berlepas pada hari Khamis.
Kementerian luar Korea Selatan pada hari Khamis mengesahkan bahawa pihak berkuasa Amerika telah membebaskan 330 pekerja, kebanyakannya warga Korea, dan mereka diangkut dengan bas ke Atlanta di mana mereka akan menaiki penerbangan sewa khas.
Selepas pertemuan dengan Setiausaha Negara Marco Rubio, Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun berkata mereka telah bersetuju bahawa kesemua pekerja itu tidak akan dirantaikan semasa pengangkutan ke lapangan terbang Hartsfield-Jackson di Atlanta.
Cho berkata seluruh rakyat Korea Selatan amat tersinggung dan terkejut dengan penahanan warganegara Korea yang hadir di AS untuk melatih rakyat Amerika bagi menyumbang kepada usaha pentadbiran Trump untuk memulihkan industri pembuatan AS.
Sebelum ini, sektor industri Korea Selatan pernah mengadu tentang masalah mendapatkan visa Amerika untuk pekerja mahir, yang menyukarkan penghantaran kakitangan dengan cepat bagi menangani masalah kekurangan pakar kilang-kilang canggih.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, berkata serbuan oleh ICE itu boleh menjejaskan pelaburan syarikat-syarikat Korea Selatan di Amerika.
-BTS Media