GAMBAR: Utusan Malaysia.
SARJANA dan pemikir sastera negara, Dr. Abd Rahman Napiah, 80, atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, telah meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi semalam di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Kuala Lumpur.
Pemergian Sasterawan Perak kedua itu disahkan oleh anaknya, juga seorang penulis, Ismi Azhan, yang memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Menurut Ismi Azhan, jenazah dibawa ke Surau Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi.
Bagi Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Prof. Dr. Abdul Halim Ali, pemergian Mana Sikana merupakan kehilangan besar kepada ilmuwan sastera nusantara.
Beliau berkata, Allahyarham banyak berbakti dalam bidang sastera, khususnya dalam konteks kritikan penulisan drama dan sangat disegani, bukan sahaja di negara ini.
Abdul Halim menyifatkan berita ini sebagai menyedihkan untuk industri penulisan sastera nusantara memandangkan Mana Sikana adalah sosok yang begitu disegani semua kerana beliau seorang ilmuwan unggul dalam bidangnya.
Allahyarham dimasukkan ke hospital pada 18 Mei lalu.
Abdul Rahman Napiah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada tahun 2004, justeru menjadikannya yang kedua selepas Suhaimi Haji Muhammad.
Beliau dikenali sebagai pengkarya prolifik melalui falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya kreatif yang dihasilkannya, termasuk drama berjudul Pasir-Pasir di Pasir Salak.
Drama tersebut mengupas falsafah yang tersirat dalam peristiwa pembunuhan JWW Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak.
Allahyarham juga mengembangkan teori dan kritikan sastera di Malaysia melalui pendekatan, kritikan, dan teori sastera di universiti.
Mana Sikana pernah memenangi beberapa anugerah, antaranya Anugerah Seri Angkasa bagi Skrip Drama Radio dan TV Terbaik (1973), Penulis Terbaik Dewan Sastera (1978), Hadiah Sastera UKM (1978),1 dan Hadiah Sastera Nasional untuk cerpen dan kritikan sastera (1978 dan 1982).
-BTS Media