PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini (Isnin 12 Mei) berkata bahawa pembebasan seorang tebusan warga AS-Israel, seperti yang diumumkan oleh Hamas, tidak akan membawa kepada gencatan senjata di Semenanjung Gaza atau pembebasan tahanan Palestin.
Dalam satu kenyataan, dia berkata rundingan bagi mendapatkan pembebasan semua tebusan di Gaza akan diteruskan bersama keganasan dan peningkatan pertempuran di Gaza.
Hamas, pada hari Ahad berkata mereka akan membebaskan Edan Alexander, seorang anggota tentera warga AS-Israel yang ditahan di Gaza.
Walaupun tiada tarikh diberikan, keluarga Alexander berkata dia mungkin dibebaskan “dalam beberapa hari akan datang.”
Menurut Netanyahu, apa pun keputusan ikhlas Hamas, Israel tidak berjanji untuk gencatan senjata dalam apa jua bentuk atau pembebasan tahanan, tetapi hanya membuka laluan selamat bagi membolehkan pembebasan Edan.
Dia menegaskan bahawa janji pembebasan Alexander kononnya telah dicapai melalui “tekanan ketenteraan” ke atas Hamas di Semenanjung Gaza.
Terdahulu, dua pegawai Hamas memberitahu AFP bahawa rundingan sedang berlangsung di Qatar, dan Amerika Syarikat dilaporkan berkata bahawa “persetujuan” telah dicapai.
Sementara itu, Israel terus menyerang Gaza.
Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam serangan udara Israel semalaman di sebuah sekolah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan.
Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmud Bassal berkata “sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, termasuk beberapa wanita dan kanak-kanak, serta berpuluh-puluh lagi cedera selepas serangan udara Israel di sekolah Fatima Bint Asad, yang menempatkan lebih daripada 2,000 orang.
-BTS Media