JOHOR BARU: Penemuan membimbangkan di pusat pemeriksaan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada 27 Mac, di mana ikan sardin dalam tin dikesan tercemar dengan cacing parasit Anisakis spp, sebenarnya import dari Singapura.
Makanan produk yang dijangkiti parasit ini boleh mengakibatkan sakit perut teruk, loya dan muntah.
Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah bertindak merampas sebanyak16,320kg ikan sardin dalam tin berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM84,000.
Rampasan dibuat selepas lori yang mengangkut barangan itu gagal mengeluarkan permit import yang diperlukan, lapor NST.
Pengarah Johor Maqis, Edie Putra Md Yusof, mendedahkan bahawa sampel sardin tersebut dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian, dan disahkan terdapat cacing parasit itu.
“Pemeriksaan fizikal awal mendapati terdapat bahan asing dalam ikan sardin yang dirampas, dan kami menjalankan analisis lanjut,” katanya.
Ikan sardin, yang berasal dari China dan diimport oleh Singapura itu dibawa ke negara ini melalui kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di BSI.
Edie Putra berkata tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14(a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], yang melarang import barangan mengandungi perosak, penyakit atau bahan cemar.
Pesalah boleh dikenakan denda yang tinggi sehingga RM100,000, penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.
-BTS Media