BTS Media

Dakwaan kerajaan basmi kemiskinan tak gambarkan keadaan sebenar, kata NGO

SEORANG pemimpin NGO menyoal pengumuman perdana menteri bahawa kemiskinan tegar telah dibasmi di Kuala Lumpur, sebaliknya berkata hasil kaji selidik baru-baru ini membayangkan sebaliknya.

Laili Ismail, timbalan presiden Pertiwi Soup Kitchen berkata, dakwaan Anwar Ibrahim “mengejutkan” pekerja sosial yang bekerja rapat dengan golongan gelandangan dan mereka dari kumpulan pendapatan B40.

Katanya, dapur amal itu melakukan kaji selidik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dengan bantuan polis.

“Di Kuala Lumpur saja, kami menemui kira-kira 200 orang tinggal di jalanan dalam jarak 300m,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, NGO itu turut melihat peningkatan penerima sebanyak kira-kira 10% sejak pandemik Covid-19, dengan peralihan daripada lebih ramai golongan muda ketika sekatan perjalanan kepada lebih ramai yang berusia kini.

“Di pusat pengagihan ini (di Medan Tuanku), kami menyediakan kira-kira 1,000 hidangan seminggu. Di pusat pengagihan Chow Kit, kami menyediakan 2,000 hidangan seminggu,” katanya.

Pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Bersekutu di Kuala Lumpur, Anwar memuji “kejayaan 100%” dalam membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka, dan Negeri Sembilan.

Pakar ekonomi Goh Lim Thye dari Universiti Malaya berkata kenyataan perdana menteri itu berdasarkan data terkini Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022 Jabatan Perangkaan, yang menunjukkan kejayaan pembasmian kemiskinan tegar di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

Kemiskinan tegar mengikut survei itu, merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan RM1,169 ke bawah.

Bagaimanapun, Goh menegaskan pentingnya untuk mempertimbangkan perkaedahan kutipan data dan mencadangkan supaya jabatan itu bekerjasama dengan NGO seperti bank makanan bagi memastikan golongan yang tidak diwakili turut dimasukkan dalam sebarang kaji selidik.

“Angka terkini itu lazimnya termasuk isi rumah yang boleh diakses untuk tujuan temu bual atau survei.

“Pendekatan ini mungkin tidak merakam sepenuhnya golongan gelandangan atau mereka yang tinggal di kawasan terpencil luar bandar, seterusnya tidak memberi gambaran sebenar kemiskinan tegar,” katanya.

Goh berkata, walaupun usaha kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan menyediakan bantuan sementara, program yang mengintegrasikan campur tangan sosial, ekonomi, dan pendidikan adalah penyelesaian lebih holistik.

“Program Jaring Keselamatan Produktif di Etiopia menawarkan pemindahan makanan dan tunai kepada golongan miskin sebagai balasan untuk penglibatan mereka dalam projek kerja awam” katanya.

“Program seumpama ini menyasarkan untuk membaiki infrastruktur dan produktiviti pertanian, seterusnya menangani kebimbangan keterjaminan makanan jangka pendek sambil meningkatkan pengukuhan serta produktiviti untuk tempoh jangka panjang.

“Di Brazil dan Mexico, wujud program yang menyediakan bayaran tunai kepada keluarga miskin sekiranya mereka memenuhi syarat tertentu, seperti memastikan anak mereka menghadiri sekolah dan mendapat suntikan vaksin.

“Program-program ini menyasarkan untuk meredakan kemiskinan seiring melabur ke arah kesihatan dan pendidikan generasi masa depan seterusnya menghapuskan kitaran kemiskinan.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/03/22/dakwaan-kerajaan-basmi-kemiskinan-tak-gambarkan-realiti-kata-ngo/

Leave a Comment