BTS Media

Peraturan terlalu ketat akan sukarkan kerja media, kata bekas menteri

SEORANG bekas menteri komunikasi dan multimedia memberi peringatan bahawa kod etika media yang terlalu ketat mungkin menyukarkan wartawan daripada menjalankan tugas secara berkesan, walaupun ia bertujuan memerangi berita palsu.

Salleh Said Keruak berkata, walaupun kod etika wartawan yang dilancarkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil baru-baru ini mungkin boleh melindungi kebebasan media, ia juga mungkin boleh menyebabkan pengamal media tidak mahu membincangkan topik-topik sensitif.

“Melindungi kebebasan media adalah penting dalam mempertahankan kebebasan bersuara, memupuk ketelusan, dan mengukuhkan demokrasi.

“Ada kemungkinan etika media yang terlalu ketat akan menyukarkan pelaporan siasat, dan tidak menggalakkan perbincangan topik sensitif yang ditentukan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada FMT.

Akta Antiberita Tidak Benar diperkenalkan pada 2018 menjelang pilihan raya umum ke-14, ketika ADUN Usukan itu menjadi menteri dari 2015 hingga 2018 di bawah pentadbiran Najib Razak. Akta itu bagaimanapun dimansuhkan pada 2019 ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Kod terbaru dilancarkan Fahmi pada Selasa diperkenalkan untuk mengemas kini etika kewartawanan Malaysia yang diterbitkan pada 1989, meliputi lapan etika utama termasuk kebertanggungjawaban, ketelusan, dan keadilan dalam menyampaikan maklumat.

Ia bagaimanapun dipertikai kumpulan hak asasi, antaranya Lawyers for Liberty yang mendakwa ia akan “semakin mengukuhkan kawalan terhadap media” selain menggelarnya “kaedah pintu belakang” untuk menghidupkan semula Akta Antiberita Tidak Benar yang bersifat “drakonian”.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka berkata, sebarang kod etika untuk wartawan perlu dikawal selia industri media dan bukannya kerajaan.

Wartawan veteran, A Kadir Jasin, turut mengkritik masa kod baharu itu diperkenalkan, dan berkata peraturan seperti itu sepatutnya di bawah bidang kuasa Majlis Media Malaysia memandangkan rang undang-undang (RUU) pembentukannya bakal dibentangkan di Parlimen pada Jun.

“Bagaimanapun, kerajaan tiba-tiba dan secara unilateral melancarkan kodnya sendiri, walaupun RUU Majlis Media Malaysia masih belum dibentangkan,” katanya kepada FMT.

“Kenapa berebut mewujudkan etika ini secara unilateral? Kenapa tidak boleh tunggu sehingga Akta Media Malaysia dimaktubkan? Atau adakah ini usaha seseorang untuk menonjolkan diri?”

Pada 21 Feb, Fahmi mengumumkan RUU Majlis Media Malaysia akan dibentangkan di Parlimen pada Jun, susulan kelulusan Jemaah Menteri.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/23/peraturan-terlalu-ketat-akan-sukarkan-kerja-media-kata-bekas-menteri/

Leave a Comment