SEORANG ahli sejarah menggesa Universiti Putra Malaysia (UPM) menyiasat artikel jurnal mengenai sejarah maritim Melayu yang ditulis oleh dua ahli akademiknya, yang didakwa memberikan fakta yang salah.
Situasai ini berlaku selepas Muzium Bahari di Jakarta secara rasmi menafikan bahawa model jong Melayu – yang dikatakan oleh dua penyelidik itu dipamerkan di muziumnya – adalah sebahagian daripada koleksinya.
Ranjit Singh Malhi berkata integriti ahli akademik berkenaan telah “dipersoalkan dengan serius” berikutan penyangkalan itu.
Menurut Ranjit, ini lebih-lebih lagi selepas salah seorang penyelidik memberitahu bahawa dia telah melawat Muzium Bahari secara peribadi dan melihat model itu dipamerkan di sana.
“Rozita Che Rodi, dalam catatan Facebook, mendakwa dia telah ‘melawat muzium secara peribadi dan melihat model itu dipamerkan’.
“Sebaliknya, pihak berkuasa Muzium Bahari kini mengesahkan bahawa jong berkenaan bukan sebahagian daripada koleksinya dan ia lebih menyerupai jong Cina.
“Justeru, integriti akademik Rozita yang menjadi jiwa ahli akademik dipersoalkan secara serius.
“Oleh itu, pihak berkuasa UPM tidak mempunyai pilihan selain segera menjalankan siasatan bagi memastikan kebenaran, ia perlu untuk menjaga reputasinya,” katanya.
Ranjit merujuk kepada komen Facebook oleh Rozita pada 21 Jan, apabila dia mempertahankan gambar kapal dalam kertas penyelidikan bertajuk The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization.
Artikel yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Vol.13, Issue 11, 2023 ditulis oleh Rozita dan Hashim Musa.
“Jong di muka surat 11 ialah model yang ditemui di Muzium Bahari Jakarta. Penulis melawat muzium itu sendiri dan melihat model itu dipamerkan. Mungkin juga terdapat di muzium lain,” tulis Rozita di ruangan komen ahli sejarah Perancis Serge Jardin.
UPM kemudiannya mengeluarkan kenyataan mempertahankan Rozita dan Hashim, dengan mengatakan bahawa artikel yang diterbitkan telah melalui penilaian rakan akademik (peer review).
Semalam, Malaysiakini melaporkan penjelasan Muzium Bahari, yang menafikan bahawa gambar jong Melayu yang digunakan dalam artikel itu adalah sebahagian daripada koleksinya.
Sementara itu, Ranjit turut menggesa Kementerian Pengajian Tinggi mengenal pasti dan menyenaraihitamkan jurnal berkenaan.
Ahli sejarah itu mendakwa ramai ahli akademik Malaysia telah menerbitkan artikel mereka dalam jurnal pemangsa atau palsu.
“Malangnya, sebilangan besar ahli akademik Malaysia (terutamanya sarjana muda dan tidak berpengalaman) bersalah kerana menerbitkan artikel mereka, yang sering kurang mendalam dan tidak menyumbang kepada pengetahuan baru, dalam jurnal pemangsa atau palsu.
“Mungkin, Kementerian Pengajian Tinggi harus mengambil inisiatif untuk mengenal pasti dan menyenaraihitamkan jurnal pemangsa, dan melarang sekeras-kerasnya ahli akademik Malaysia menerbitkan karya mereka dalam jurnal tersebut.”
Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/694731