Oleh Fetty Rara
PENGELUAR kereta nasional Perodua telah memulakan siasatan berhubung dakwaan notis ‘etika kod pakaian’ yang dipamerkan di pusat servis Perodua beberapa hari lalu.
Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd JH Rozman Jaafar berkata notis itu tidak lagi dipamerkan, dan syarikat tersebut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat isu mengenai notis ‘etika berpakaian’ yang dipamerkan di pusat servis Perodua di Kuantan.
Rozman berkata notis tersebut tiada lagi, dan etika berpakaian berkenaan tidak sejajar dengan garis panduan rasmi syarikat.
Menurutnya, pihak Perodua sedang menjalankan siasatan, diikuti dengan langkah pembetulan untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami oleh pelanggan kami yang dihargai di Pusat Servis Perodua,” katanya dalam satu kenyataan.
Satu catatan mengenai garis panduan kod pakaian di pusat khidmat itu menjadi tular selepas orang ramai berkongsinya di media sosial.
Notis itu memaparkan tata cara pemakaian yang perlu bagi pelanggan ketika berurusan di premis Perodua.
Ia juga dikatakan serupa dengan notis etika berpakaian untuk memasuki pejabat kerajaan.
Ahli politik MCA, Datuk Quek Tai Seong, berkongsi siaran di Facebook dengan kapsyen, “Adakah ini arahan (untuk) #perodua di seluruh negara? Atau adakah cawangan ini cuba memandai-mandai?”
-BTS Media