BTS Media

Kisah peguam Melayu bantu wanita India dituduh curi kotak pensil untuk anak

Oleh Zainal AS Rashid

APABILA peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar membantu seorang ibu miskin yang didakwa mencuri di sebuah pasar raya 25 tahun lalu, tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa satu hari nanti ia akan membawa kepada keakraban dua keluarga.

Pada tahun 1998, Ahmad Zaharil adalah seorang peguam muda dalam lingkungan usia 30-an.

Suatu hari, semasa dia bersendirian di dalam bilik mahkamah selepas mengendalikan kes, muncul seorang wanita India berusia 50-an dalam keadaan bergari diiringi polis.

“Melihat dia dalam kesusahan, saya merasa terdorong untuk bertanya atas sebab apa dia dihadapkan ke mahkamah.

“Dia berkata dia ditangkap kerana mencuri satu kotak pensel dari sebuah pasar raya.

“Kotak pensel itu sebagai hadiah untuk anak lelaki berusia 10 tahun, yang merupakan anak tunggalnya.

“Dia berkata bahawa dia telah berjanji untuk menghadiahkan anaknya kotak pensel jika dia pelajar terbaik dalam kelas,” kata Ahmad Zaharil, yang kini berusia 57 tahun.

GAMBAR: facebook Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Si anak itu, seorang pelajar tahun empat, telah lulus peperiksaannya dengan cemerlang dan dapat tempat pertama dalam kelasnya.

Bagaimanapun, ibunya yang malang itu tidak mempunyai wang, lalu dia mencuri kotak pensel berharga RM18 dari pasar raya dan kemudian ditangkap.

Dalam temu bual, Ahmad Zaharil berkata: “Saya terfikir jika dia dipenjarakan atas kesalahan itu, siapa yang akan menjaga anaknya? Jadi, saya terpaksa campur tangan, lapor The Star.

“Selepas berbincang dengan majistret untuk menangguhkan kes itu ke satu waktu kemudian, saya berkunjung ke sekolah si anak di Sentul untuk mengesahkan dakwaan ibunya itu.

“Selepas bercakap dengan guru besar, ternyata benar bahawa si anak itu memang pelajar terbaik dalam kelasnya,” kata Ahmad Zaharil, yang merupakan bapa kepada lima anak.

Selepas itu, dia bersama guru kelas si anak itu segera kembali ke mahkamah di mana dia bertemu dengan pemilik pasar raya berkenaan.

“Saya menawarkan pemilik pasar raya itu dua kali ganda harga kotak pensel itu dan merayu kepadanya supaya mengasihani wanita tersebut. Bagaimanapun, dia enggan dan mahu meneruskan kes itu,” kata Ahmad Zaharil.

Ahmad Zaharil berkata apabila kes wanita itu dibicarakan, dia segera bertindak mewakilinya sebagai peguam.

Berdasarkan keterangan guru dan setelah kes pertimbangkan, dia berkata majistret membebaskan si ibu dengan ikatan berkelakuan baik bagi satu tempoh lebih kurang setahun.

“Sebelum dia pergi, kami telah membuat kutipan wang sebanyak kira-kira dua ratus ringgit yang disumbangkan oleh kakitangan mahkamah, anggota polis dan saya sendiri.

“Kami serahkan wang itu kepada wanita tersebut. Dia mengucapkan terima kasih dan sejak itu saya tidak pernah melihatnya lagi,” kata Ahmad Zaharil yang pakar dalam kes berkaitan jenayah narkotik.

Bagaimanapun, dia berkata kes itu sentiasa diingati sepanjang tiga dekad kerjayanya sebagai peguambela.

Pada 2018, ketika bertugas di mahkamah, dia didatangi seorang lelaki berusia awal 30-an.

Lelaki itu memberitahu Ahmad Zaharil: “Hello, tuan. Mungkin tuan tidak mengenali saya, tetapi saya adalah anak kepada tukang cuci yang tuan pernah bantu 20 tahun lalu. Ingat bekas kotak pensel?

“Ibu saya ternampak tuan dalam berita di TV berhubung kes tuan  kendalikan dan memberitahu saya siapa tuan sebenarnya.

“Saya dah lama mencari, dan sekarang amat gembira bertemu tuan.

Saya seorang peguam sekarang, tuan,” kata lelaki muda itu.

Ahmad Zaharil berkata, dia terus sebak apabila dimaklumkan perkara tersebut, lalu dia memeluk peguam muda itu.

“Saya hampir pengsan apabila dia memberitahu saya siapa dia. Ia sangat menyentuh hati dan salah satu detik paling gembira dalam hidup saya. Kami terus berjumpa ibunya, yang kini berusia 76 tahun.

“Sejak itu, kami menjadi rapat. Dia seperti anak kepada saya. Kami akan menziarahi satu sama lain semasa Deepavali dan Hari Raya,” kata Ahmad Zaharil.

Semasa menceritakan pertemuan dengan ibu peguam muda itu pada 1998, dia berkata: “Saya membantu kerana dia juga rakyat Malaysia. Di Malaysia, walaupun latar belakang kita berbeza, perbezaan kita adalah kecil, tetapi kita mempunyai persamaan. Kita boleh hidup dalam harmoni sebagai satu keluarga besar.”

-BTS Media

Leave a Comment