BTS Media

Eropah dah penuh! Terlalu ramai pelancong

GAMBAR ATAS:  Kota lama Dubrovanik / FOTO: Zysko serhii – CC BY-SA 4.0, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=72227145

 

Oleh Zainal AS Rashid

DESTINASI tumpuan pelancong Eropah seperti Amsterdam dan Dubrovnik kini sedang ‘berperang’ untuk menyekat, atau setidak-tidaknya pun mengurangkan kedatangan puluhan ribu pelancong hingga jalan raya menjadi terlalu sesak.

Berikut ialah beberapa contoh langkah yang diambil untuk menangani peningkatan jumlah pelancong dalam era penerbangan murah dan penginapan Airbnb, lapor AFP.

Di Croatia, Dubrovnik, bandar raya dikelilingi tembok kota lama zaman pertengahan adalah antara kawasan paling sesak di Eropah, dengan kepadatan pelancong yang sering kali menjadikannya mustahil untuk berjalan.

Bandar raya yang dianggap sebagai “permata” pesisir Laut Adriatik itu telah menyaksikan lonjakan besar jumlah ketibaan pelancong, terutama sejak dipopularkan melalui siri HBO, “Game of Thrones” pada 2011.

Pada 2019, bandaraya yang mempunyai kira-kira 41,000 penduduk itu menerima rekod 1.4 juta pelancong dan 4.4 juta tempahan penginapan semalaman.

Pada tahun itu, pihak berkuasa tempatan telah bertindak untuk mengehadkan bilangan ketibaan kapal persiaran kepada hanya dua setiap hari, dengan tidak lebih 4,000 penumpang bagi setiap persinggahan.

Pihak berkuasa juga melancarkan aplikasi yang menggunakan kaedah pembelajaran mesin (machine learning) untuk meramalkan waktu lokasi popular bandar lama di Dubrovnik, yang merupakan  tapak warisan dunia UNESCO, paling sibuk.

Susulan pendekatan itu, menjelang tahun 2022, bilangan pelawat telah menurun kepada lebih sedikit daripada satu juta orang.

PANTAI Bracelona yang sesak dengan pelancong. FOTO: Federico Giampieri federicogiampieri, CC0, via Wikimedia Commons

 

Barcelona

Terletak di pantai Mediterranean, Barcelona, Sepanyol ialah ibu kota wilayah Catalonia, yang terkenal dengan gereja ikonik hasil ilham arkitek  Antoni Gaudi, selain sebuah kelab bola sepak terbaik di negara itu.

Memandangkan keadaan pelancongan yang semakin tidak terkawal, Ada Colau, bekas aktivis hak perumahan berhaluan kiri yang menjadi datuk bandar di antara 2015 dan Jun 2023 telah bertindak membanteras penyewaan Airbnb haram yang meminggirkan penduduk tempatan daripada menikmati pendapatan.

Barcelona juga melarang pelancong daripada memasuki kawasan pasar bersejarah La Boqueria pada waktu puncak membeli-belah.

Tindakan Colau menyaksikan seramai 9.7 juta pelancong direkodkan menginap sekurang-kurangnya semalaman  di hotel dan ‘homestay’ Barcelona pada 2020, berbanding 12 juta pada 2019.

VENICE, yang terlalu padat pelancong/ FOTO: US Army Africa from Vicenza, Italy, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons

 

Venice

Di Italy, Venice, yang menerima 5.5 juta pelawat pada 2019 berbanding jumlah penduduk seramai 50,000, pula telah lama mengamalkan apa yang dikenali sebagai “detour tourism” yang mengharamkan kapal-kapal persiaran berlabuh. Ini berikutan kebimbangan kesan ke atas bandar raya yang mempunyai alam sekitar amat sensitif.

Venice juga telah memperkenalkan cukai ke atas pelawat yang bermalam, selain memperkenalkan skim tempahan berbayar untuk pelancong harian.

Bagaimana pun, skim yang memerlukan pelancong membayar antara €3 (RM15) dan €10 (RM50.39) untuk memasuki kawasan bandar, telah ditangguhkan beberapa kali kerana bimbang ia akan menjejaskan kebebasan pelancong bergerak.

SESAK dengan pelancong di Amsterdam/ FOTO: Stern.

 

Amsterdam

Di Belanda, bandar raya Amsterdam telah lama cuba untuk membersihkan imej dicemari parti liar, pergaduhan, dadah dan seks sejak sekian lama yang menarik kira-kira 20 juta pelancong setiap tahun.

Pada Mac 2023, bandar raya itu melancarkan kempen dalam talian yang bertujuan untuk tidak menggalakkan lelaki muda British daripada melancong ke Amsterdam bagi menikmati kebebasan mabuk alkohol atau dadah. Sekiranya ingkar, mereka berdepan risiko ditangkap dan dipenjarakan oleh polis.

Minggu lalu, bandaraya itu juga memutuskan untuk menutup terminal kapal persiaran utamanya.

Langkah-langkah lain yang diperkenalkan baru-baru ini untuk mengembalikan ketenangan, termasuk larangan menghisap ganja di jalan-jalan kawasan pelacuran.

-BTS Media

Leave a Comment