KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan memanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Negeri, untuk berbincang mengenai isu arah kiblat yang tersasar.
Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Dr Nooh Gadut menyifatkan isu arah kiblat yang tepat mengikut syariat adalah perkara sensitif, kerana membabitkan hal ehwal agama Islam yang merangkumi semua negeri.
“Beri sedikit masa untuk kami (Jawatankuasa Muzakarah) berbincang dengan JAKIM dan majlis agama setiap negeri bagi memperincikan (isu kiblat tersasar), sekali gus menetapkan apa prosedur yang perlu dilakukan terhadap perkara berkenaan.
“Perkara ini tidak boleh diberi pandangan melalui satu pihak sahaja, peribadi mahupun mengikut negeri masing-masing, terutama dalam menentukan prosedur menetap atau mengukur semula arah kiblat yang disyariatkan di Malaysia,” katanya kepada BH, semalam.
Pandangan Nooh turut dipersetujui Penasihat Persatuan Falak Syari’ Malaysia, Datuk Dr Azhari Mohamed, yang menyifatkan isu arah kiblat tersasar adalah perkara yang serius dan sensitif kerana membabitkan kemaslahatan umat Islam dan penyempurnaan ibadah.
Justeru, katanya, pihak berkepentingan termasuk JAKIM dan Jabatan Mufti setiap negeri perlu duduk semeja mencari kaedah paling tepat memastikan setiap arah kiblat umat Islam di negara ini, tidak tersimpang, sehingga boleh mengakibatkan ibadat wajib seperti solat lima waktu terbatal.
Beliau juga mencadangkan JAKIM menubuhkan jawatankuasa bertindak yang turut disertai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi menyelesaikan isu itu.
“Selain solat, arah kiblat juga penting dalam menyempurnakan kedudukan jenazah di liang lahad, mendirikan masjid dan surau serta afdal ketika berdoa.
“Oleh itu, JAKIM perlu bekerjasama dengan Jabatan Mufti dan JUPEM dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.
Semalam, BH melaporkan kira-kira 40 peratus kediaman umat Islam sekitar Lembah Klang mempunyai arah kiblat yang salah, disebabkan pelbagai faktor, termasuk kesilapan membaca kompas ketika membuat penentuan sendiri arah tempat solat.
Situasi itu dikesan selepas Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) memeriksa lebih 20,000 kediaman dan premis umat Islam untuk ditentusahkan arah kiblat di Lembah Klang.
Daripada jumlah itu, PAFNS mendapati hanya 5,000 yang diperiksa ada penanda arah kiblat ditandai tuan rumah dengan kira-kira 2,000 daripadanya jelas terpesong.
Perlu libatkan JUPEM
Mengulas lanjut, Azhari yang juga pakar falak terkenal berkata, JUPEM perlu dilibatkan dalam aktiviti penetapan arah kiblat di premis, selain masjid dan surau kerana ada kepakaran dan mandat.
“Sekurang-kurangnya sembilan peraturan dan undang-undang ada pada JUPEM dalam melaksanakan kerja ukur dan pemetaan terutama berkaitan bidang astronomi, penentuan koordinat dan geospatial seperti Kertas Jemaah Menteri 1965, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 1972, Peraturan Ukur Kadaster 222, Akta Juruukur Tanah Berlesen 1985 serta Perkelilingan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan.
“Oleh itu, apabila JAKIM dan Jabatan Mufti memperoleh maklumat awal, mereka harus menyemak dengan badan profesional seperti JUPEM.
“Sebagai contoh, ruang solat di pusat beli-belah, adalah sukar untuk membawa arah kiblat di luar premis ke dalam premis dan disebabkan itu kepakaran JUPEM diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) sudah mengambil langkah proaktif perbetulkan arah kiblat di premis awam, termasuk semua masjid dan surau di negeri itu dengan membuat pengukuran semula.
Pemangku Mufti Negeri Sembilan, Amran Awaluddin, berkata kakitangan jabatan, terutama bahagian falak turun padang di semua premis terbabit bagi memastikan semua institusi ibadat mempunyai arah kiblat yang tepat seperti disyariatkan.
“Usaha ini sudah mula dilaksanakan dan hasil turun padang yang dilakukan kita dapati ada masjid dan surau lama yang mana arah kiblatnya tidak tepat. Kita mengambil langkah dengan membuat pengukuran semula bagi memastikan semua masjid dan surau mempunyai arah kiblat yang betul,” katanya.
Solat sah jika tersasar beberapa darjah
Setiap umat Islam perlu berusaha memastikan ketepatan arah kiblat, demi menyempurnakan ibadat wajib seperti solat dan pengurusan jenazah.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata sekiranya mereka yang mengerjakan ibadat itu hanya mengetahui arah kiblat digunakan tersasar selepas selesai bersolat, ibadat dilakukan itu tidak terbatal.
Katanya, arah kiblat adalah syarat sah dalam mengerjakan ibadat solat dan penting untuk umat Islam menentusahkan arah kiblat dengan sempurna.
“Setiap daripada kita perlu menghadap kiblat dengan sempurna kerana ia syarat wajib ibadat solat. Kita juga tidak boleh was-was ketika dalam solat.
Isu arah kiblat yang tepat mengikut syariat adalah perkara sensitif, kerana membabitkan hal ehwal agama Islam yang merangkumi semua negeri.
Isu arah kiblat yang tepat mengikut syariat adalah perkara sensitif, kerana membabitkan hal ehwal agama Islam yang merangkumi semua negeri.
“Sekiranya masih khuatir, adalah penting untuk kita bertanya dan mencari arah kiblat yang sempurna,” katanya.
Abdul Rahman menjelaskan, tiada keperluan mengeluarkan fatwa mengenai ketepatan arah kiblat memandangkan kewajipan itu sudah disebut dalam al-Quran dan hadis.
Sementara itu, pendakwah agama yang juga Presiden One Nation, Ustaz Abdul Halim Hafidz, menjelaskan, solat umat Islam kekal sah sekiranya arah kiblat ketika ibadat itu dilaksanakan tersasar.
“Sekiranya curiga dengan arah kiblat sebelum solat, dia boleh solat mengikut arah mana-mana pun sekiranya yakin dengan arah berkenaan. Malah ulama sendiri berpandangan secara khilaf, sekiranya ia tersasar beberapa darjah, solatnya masih sah,” katanya.
Abdul Halim berkata, sekali pun mereka menyedari arah kiblat tersasar ketika dalam solat, ia masih boleh dibetulkan sehingga berada dalam kedudukan tepat.
“Sebagai contoh, kita sedang bersolat, namun mendengar teguran oleh seseorang yang mengatakan arah kiblat itu tidak tepat. Kita boleh membetulkan kedudukan tanpa membatalkan solat, malah sekiranya arah itu masih tidak betul, dia masih boleh bergerak ke arah yang tepat.
“Sama juga seperti kita bersolat dalam penerbangan, kita hanya perlu di arah kiblat ketika mengangkat takbir. Biarpun kenderaan berpusing ke kiri ke kanan, solat kita masih lagi sah,” katanya.