KERAJAAN sedang mengkaji sistem anjal pembelajaran dari rumah bagi meringankan kos sara hidup pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin.
Langkah itu, katanya, juga dapat membantu mengurangkan pinjaman pelajar.
“Kita sedang kaji untuk memperkenalkan sistem anjal, jadi pelajar boleh belajar di rumah beberapa semester dan kemudian sambung di universiti.
KPT juga sedang mengkaji tempoh pengajian program universiti dikurangkan daripada empat kepada tiga tahun bagi mengurangkan bebanan pinjaman pelajar.
“Pelajar tidak perlu pinjam banyak duit, maknanya belajar di rumah guna komputer, makan minum juga di rumah, jadi kurangkan kos sara hidup mereka,” katanya menurut Bernama.
Khaled berkata, inisiatif pembelajaran dari rumah turut mendapat permintaan pelajar kerana ia pernah dilaksanakan semasa negara dilanda pandemik Covid-19.
Katanya, KPT juga sedang mengkaji untuk mengurangkan tempoh pengajian program universiti daripada empat kepada tiga tahun bagi mengurangkan bebanan pinjaman pelajar.
Beliau berkata, KPT turut mengkaji bagi mewujudkan tabung endowmen Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dengan penyumbang mendapat pengecualian cukai.
Dalam perkembangan lain, katanya, peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2023 semalam meningkat daripada RM14.5 bilion tahun lalu kepada RM15.3 bilion tahun ini.
Beliau berkata, ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pendidikan tinggi demi manfaat dan pembangunan masa depan negara.