PRESIDEN Turkiye Recep Tayyip Erdogan semalam memberi amaran bahawa Sweden tidak boleh mengharapkan sokongan negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas insiden pembakaran al-Quran di luar kedutaannya di Stockholm.
Kenyataan Erdogan itu menjauhkan lagi prospek Sweden dan Finland untuk menyertai pakatan pertahanan itu sebelum pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye, Mei ini.
Turkiye dan Hungary adalah satu-satunya anggota NATO yang tidak meratifikasi keputusan bersejarah kedua-dua negara untuk memecahkan tradisi berkecuali ketenteraan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, berjanji bahawa parlimennya akan meluluskan kedua-dua usul berkenaan bulan depan.
Bagaimanapun, Erdogan memperkukuhkan langkahnya menuju pilihan raya dengan membangkitkan pangkalan pilihan raya nasionalisnya.
“Sweden tidak sepatutnya mengharapkan sokongan Turkiye untuk NATO.
“Adalah jelas bahawa mereka yang menyebabkan aib di hadapan kedutaan kita, tidak boleh mengharapkan sebarang kebajikan berhubung permohonan untuk menjadi ahli NATO,” katanya.
Sweden bagaimanapun sangat berhati-hati dalam membalas kenyataan Erdogan.
Menteri Luar, Tobias Billstrom, berkata beliau tidak boleh mengulas mengenai kenyataan itu kerana mahu memahami dengan tepat apa yang dikatakan.
Pemimpin Sweden mengecam keras tindakan ahli politik sayap kanan, Rasmus Paludan tetapi mempertahankan definisi kebebasan bersuara negara itu.
“Saya ingin menyatakan simpati saya kepada semua umat Islam yang tersinggung dengan apa yang berlaku di Stockholm hari ini,” menurut Perdana Menteri, Ulf Kristersson dalam ciapannya di Twitter, Sabtu lalu.
Erdogan bagaimanapun sudah menetapkan beberapa syarat yang sukar termasuk permintaan supaya Sweden mengekstradisi puluhan suspek Kurdish yang dituduh atas “keganasan” atau terbabit dalam rampasan kuasa 2016 yang gagal.
Sebelum ini, hubungan Turkiye dan Sweden menunjukkan kemajuan dengan lawatan oleh menteri tertinggi ke Ankara.
Stockholm juga menggubal satu pindaan perlembagaan bagi membolehkan undang-undang antikeganasan yang lebih ketat seperti dituntut oleh Ankara, diluluskan.
Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi buruk apabila sekumpulan kecil Kurdish menggantung patung Erdogan di luar dewan bandar raya Stockholm awal bulan ini.
Turki memanggil duta Sweden dan membatalkan jemputan speaker parlimennya untuk melawat Ankara.
Keputusan polis Sweden untuk meluluskan bantahan Paludan mendapat respons yang sama.
Turkiye memanggil duta Stockholm dan membatalkan lawatan yang dirancang oleh menteri pertahanan Sweden.
Erdogan berkata, pembakaran kitab suci umat Islam adalah jenayah kebencian yang tidak dapat dipertahankan dengan kebebasan bersuara.
Setiausaha agung NATO, Jens Stoltenberg, mengecam pendirian Erdogan berhubung Sweden.
Dalam satu temu bual, beliau berkata bahawa kebebasan bersuara, kebebasan berpendapat adalah komoditi yang berharga, di Sweden dan di semua negara NATO yang lain.
“Dan itulah sebabnya tindakan tidak wajar ini tidak secara automatik menyalahi undang-undang,” katanya.
Stoltenberg, sebelum ini bercakap mengenai proses keahlian pantas dalam hanya beberapa minggu dan menambah bahawa kerajaan Sweden telah mengutuk demonstrasi itu “dalam istilah yang sangat jelas”.