GAMBAR ATAS: © ProjectManhattan / Wikimedia Commons”
Oleh Zainal AS Rashid
DUA spesies nyamuk virus denggi – Aedes aegypti dan Aedes albopictus – didapati mempunyai daya tahan yang lebih kuat terhadap racun serangga, kata penyelidik.
Mereka berkata daya ketahanan ini menyumbang kepada risiko wabak denggi yang meluas dan mesti diambil kira apabila menggunakan kaedah baharu untuk mengawal pembiakan nyamuk dan membendung demam denggi.
“Mutasi genetik nyamuk ini sebagai respons kepada penggunaan racun serangga yang meluas berkemungkinan menjadi punca (ketahanan meningkat),” pakar epidemiologi dan maklumat kesihatan Profesor Datuk Awang Bulgiba Awang Mahmud dari Universiti Malaya dipetik sebagai berkata dalam New Straits Times.
Menurut laporan itu, kajian 2022 yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Parasites & Vectors mengesahkan bahawa nyamuk Aedes aegypti mempunyai ketahanan kuat terhadap racun serangga semasa, manakala kertas kajian 2021 dalam PLOS Neglected Tropical Diseases mendapati bahawa populasi Aedes aegypti Senegal mempunyai ketahanan metabolik yang tinggi terhadap racun serangga yang digunakan secara meluas.
“Adalah lumrah bagi serangga, seperti nyamuk untuk berevolusi dan seterusnya menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah-ubah.
“Bagi nyamuk Aedes, perubahan persekitaran ini adalah kebanyakannya disebabkan oleh urbanisasi dan perubahan iklim. Nyamuk menyesuaikan diri untuk membiak dalam bekas terbuang, lopak kecil air bersih, longkang dan longkang tersumbat di kawasan bandar,” pakar kesihatan alam sekitar Profesor Jamal Hisham Hashim dipetik berkata.
Para penyelidik bersetuju bahawa penyemburan racun serangga hanyalah langkah jangka pendek yang tidak berkesan terhadap penyebaran virus denggi kerana ia tidak menjejaskan tempat pembiakan dan larva nyamuk.
“Fogging nyamuk sentiasa menjadi langkah jangka pendek yang hanya menyasarkan nyamuk dewasa.
“Ia tidak menghapuskan jentik-jentik, dan juga tidak memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Jadi, walaupun ada positifnya namun ia tidak mapan mahu pun boleh dianggap sebagai strategi kawalan vektor jangka panjang yang berkesan,” kata Awang Bulgiba.
Sementara itu, bekas timbalan ketua pengarah kesihatan dan ahli epidemiologi Profesor Datuk Lokman Hakim Sulaiman dipetik sebagai berkata walaupun beberapa nyamuk virus denggi mungkin mati akibat fogging, namun “tiada bukti bahawa ia berkesan”.
“Saya tidak pernah percaya ‘fogging’ itu kaedah menjimatkan. Semasa saya masih berkhidmat, saya telah mengarah supaya fogging dikurangkan daripada dua kepada hanya sekali bagi setiap kes yang dilaporkan.
“Bagi saya, kaedah itu diteruskan kerana baik dari segi politik (politically correct),” katanya.
Kajian juga menunjukkan selain mampu membunuh nyamuk dewasa, fogging menggunakan racun serangga juga memudaratkan serangga dan membahayakan haiwan di kawasan berkenaan.
-BTS Media