BTS Media

Tidak wajar lantik menteri daripada kluster mahkamah

PENGUMUMAN kabinet Kerajaan Perpaduan menimbulkan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat yang tidak begitu bersetuju dengan pelantikan menteri daripada kluster mahkamah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, pembentukan kabinet kali ini dilihat sukar kerana Pakatan Harapan (PH) memerlukan sokongan jajaran lain iaitu Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan sebuah kerajaan dibentuk.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Kedah berkata, gabungan tersebut hanya memperoleh 112 kerusi dan untuk menjadi lebih kukuh, ia memerlukan sokongan dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memperoleh jumlah kerusi lebih selesa iaitu 140 kerusi.

Jelas sekali katanya, pemilihan menteri dalam kabinet kali ini menunjukkan pemilihan masih lagi berdasarkan kuasa dalam parti, hierarki individu untuk sesebuah parti masih lagi diutamakan.

Menurutnya, dapat dilihat pemilihan barisan kabinet di Malaysia masih mengutamakan kedudukan dan hierarki pemimpin dalam parti walaupun ada yang masih menghadapi tuduhan di mahkamah.

“Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menyatakan seseorang itu tidak bersalah sehinggalah terbukti sedemikian (innocent until proven guilty), ia secara moralnya adalah kelihatan bertentangan.

“Ia tidak konsisten dengan mesej-mesej dan harapan yang sering diutarakan oleh Anwar yang mahukan kerajaan bersih serta berintegriti.

“Malah masyarakat umum juga dapat melihat bahawa terdapat unsur-unsur ‘kronism’ dalam parti terbabit apabila hanya pemimpin tertentu sahaja dilantik untuk menjadi menteri meskipun mempunyai barisan pemimpin lain yang jauh lebih berpengalaman dan mencatat kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ummu Atiyah berkata, walaupun ada individu yang kalah pada PRU15 baru-baru ini, mereka dilantik sebagai Senator bagi membolehkan lantikan sebagai menteri.

Menurutnya, perkara itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(2)(b) menyatakan atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain dari kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.

“Persoalannya, adakah kita akan meneruskan cara ini yang masih mencerminkan pembahagian kuasa dalam kalangan elit politik yang kadangkala keterlihatan mengutamakan kepentingan masing-masing,” katanya.

Ujar beliau, pemilihan komposisi menteri dalam barisan kabinet kali ini yang menyaksikan hanya lima pemimpin wanita dilantik menjadi menteri penuh adalah kurang wajar dan masih sekadar mengikuti pemilihan dibuat dalam sistem pemerintahan kerajaan-kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, jumlah menteri wanita hanyalah sekitar atau tidak pernah melebihi jumlah lima orang sebagai menteri penuh, malah kementerian yang diletakkan juga adalah agak stereotaip iaitu Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pendidikan.

“Cumanya pada kali ini, buat pertama kalinya wanita telah dilantik untuk menjadi Menteri Kesihatan yang sebelum ini didominasi oleh kaum lelaki.

“Dua wajah baharu iaitu Dr Zaliha Mustapa sebagai Menteri Kesihatan dan Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan.

“Harapan saya kelak, akan ada anjakan di mana wanita juga boleh dilantik menjadi Menteri Luar Negeri yang terdiri daripada duta-duta wanita yang sangat berpengalaman dalam hubungan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, negara memerlukan wanita sebagai menteri bagi berdebat di Dewan Rakyat dan menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Tegasnya, perkara tersebut sangat penting kerana wanita diperlukan bagi mengetengahkan isu-isu jantina itu serta kemanusiaan secara amnya, sekali gus mengarusperdanakan perspektif gender di dalam deliberasi kelak.

Katanya, jelas dalam pelbagai kajian di dalam negara mahu pun luar negara membuktikan bahawa perwakilan wanita bukan sahaja berjaya mengadvokasikan isu wanita, malah isu-isu lokal termasuk isu infrastruktur, alam sekitar, keselamatan serta ekonomi dengan baik.

Malah katanya, ada juga di antara pemimpin wanita negara yang berani dan tegas membawa perkara penting di peringkat antarabangsa seperti isu Palestin.

“Dengan jumlah wanita yang sedikit mencatat kemenangan pada PRU15 dan sebahagiannya pula telah pun dilantik menjadi menteri serta kemungkinan nanti ada sebahagian daripada mereka akan dilantik sebagai Timbalan Menteri, maka jumlah pemimpin wanita sebagai back bencher di Dewan Rakyat akan lebih menyusut serta keahlian mereka juga akan berkurangan di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Maka pemimpin wanita yang memenangi PRU15 dan tidak memegang jawatan kabinet dalam Kerajaan Perpaduan ini serta pemimpin wanita dalam barisan pembangkang dilihat perlu menggalas tugas yang lebih agresif bagi memastikan isu wanita serta isu-isu lain serta perspektif gender diarusperdanakan dengan lebih berkesan di dalam debat Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Khas kelak,” katanya.

Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/234449/khas/rasuah-busters/tidak-wajar-lantik-menteri-daripada-kluster-mahkamah

Leave a Comment