PENGISYTIHARAN aset mandatori oleh anggota badan kehakiman dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin meningkatkan popularitinya di kalangan orang ramai tetapi bukan dalam partinya, kata seorang penganalisis.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, langkah itu akan memberikan “imej pembaharu” yang boleh menjadi kempennya, membezakan dirinya daripada orang-orang sebelumnya.
“Bagaimanapun, ia mungkin menyebabkan orang dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak gembira kerana pelantikan ke dalam GLC telah lama digunakan sebagai sumber kewangan politik dan untuk memberi ganjaran kepada penyokongnya,” katanya kepada FMT.
Azmil berkata, pengisytiharan aset hanyalah satu langkah untuk memperbaharui institusi negara, dan lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk membendung rasuah dengan berkesan.
Semalam, Ismail berkata, kod etika baru untuk Ahli Parlimen akan turut diperkenalkan dan Jemaah Menteri akan membentuk satu jawatankuasa untuk menyelia pemindahan pegawai majlis tempatan bagi membendung rasuah dan kewujudan “Napoleon kecil”.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pengisytiharan aset mungkin tidak membatalkan kritikan pembangkang terhadap Ismail.
“Saya tidak rasa pembangkang akan memberi kredit sepenuhnya kepada Ismail dan mereka akan mengkritiknya kerana tidak berbuat lebih banyak untuk menghapuskan rasuah,” katanya.
Beliau berkata, penjawat awam perlu mengisytiharkan harta mereka setiap lima tahun dan itu tidak menghalang rasuah.
“Pengisytiharan aset bukan cara paling berkesan untuk membendung rasuah. Ismail memerlukan dasar lebih ketat untuk meningkatkan popularitinya di kalangan orang ramai sebagai pejuang anti-rasuah.
Beberapa Ahli Parlimen memuji kenyataan Ismail tetapi menekankan bahawa ia tidak cukup untuk menentang rasuah.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata, aset perlu diisytiharkan sebelum, semasa dan selepas seseorang itu memegang jawatan.