KOTA BHARU – Kerajaan yang mentadbir negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan bertunjangkan Barisan Nasional (BN) sebaliknya ia disokong oleh Perikatan Nasional (PN).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan pimpinan Ismail Sabri wajar dilabel sebagai PN berpandukan kepada majoriti yang dimiliki oleh komponen parti berkenaan.
BN adalah minoriti sebaliknya PN yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah majoriti
“BN adalah minoriti sebaliknya PN yang dianggotai oleh Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah majoriti,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan bahawa kerajaan Ismail Sabri adalah milik BN.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa perjumpaan tokoh masyarakat di sini pada Isnin .
Abdul Hadi berkata, BN sepatutnya menjelaskan kerajaan campuran yang dibentuk itu adalah PN.
Katanya, hal ini kerana semua parti memainkan peranan mendukung PN dan bukan BN semata-mata.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata pentadbiran dipimpin oleh Ismail Sabri dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai kerajaan yang bersih kerana kedua-dua pemimpin itu tidak ada salah laku.
Katanya, kedua-dua individu itu adalah Perdana Menteri terbaik dan Pas mendukung kepimpinan mereka.
“Kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan Muhyiddin adalah yang bersih dan tidak ada salah laku.
“Sebaliknya ketika BN memerintah terdapat banyak ‘kebocoran’ yang berlaku,” katanya.