BTS Media

PM harus utamakan rakyat, ekonomi negara, jangan tunduk kepada desakan PRU segera

SEJAK kebelakangan ini tekanan semakin kuat daripada Barisan Nasional (BN) supaya Perdana Menteri Ismail Sabri membubarkan Parlimen.

Paling lantang ia disuarakan oleh pemimpin yang berdepan kes mahkamah.

Ketua BERSATU Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaluddin dalam kenyataan pada Isnin (19 Sept) berkata tanpa berfikiran rasional perdana menteri dilihat seperti sanggup tunduk untuk mengadakan pilihan raya semasa musim tengkujuh tanpa mempedulikan kesusahan rakyat.

Sebagai pemimpin akar umbi parti yang berpangkalan di negeri Pahang, beliau maklum dengan kepayahan rakyat, memandangkan sekolah akan digunakan sebagai pusat pemindahan sementara jika berlaku bencana banjir di negeri itu.

Beliau berkata, rakyat yang hampir setiap tahun terpaksa mengharungi bencana banjir tahu sangat betapa susahnya apabila rumah ditenggelami air dan harta benda musnah setelah cekal membina semula kehidupan pasca bencana sebelumnya.

Maka itu, berdasarkan premis ini, ramai yang berpendapat bahawa perdana menteri seharusnya mengutamakan rakyat dan sensitif kepada isu tersebut. Apatah lagi memandangkan beliau sendiri berasal dari kawasan yang sering kali terjejas oleh bencana banjir.

Kenyataan Jasri yang menyusul selepas pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dengan lantang membangkitkan kelemahan perdana menteri dalam menangani pelbagai isu negara, dan sebaliknya mengutamakan desakan puak kompatriot dalam UMNO supaya disegerakan pilihan raya umum menyerlahkan di mana letaknya keutamaan beliau.

Menurut Jasri, Ismail Sabri juga tidak mampu untuk memberi tumpuan dan fokus kepada tanggungjawab mentadbir negara akibat asakan itu.

Banyak masalah rakyat seolah-olah tidak mampu ditangani, termasuk isu pendapatan rakyat golongan B60 yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19, antara lain.

Akhbar Utusan Malaysia semalam (Ahad 18 Sept) melaporkan bahawa lebih 500,000 penoreh getah dan pekebun kecil berdepan dengan pelbagai masalah bila tiba musim tengkujuh. Nasib mereka masih terabai, dan inisiatif melalui pelbagai agensi tidak mencukupi.

Amaran mungkin berlaku banjir besar tahun ini tidak sepatutnya diambil ringan. Corak perubahan iklim yang mencetuskan bencana banjir dan ribut besar di serata dunia, termasuk di Asia perlu diambil iktibar.

Jasri berkata beliau berharap BN dapat bermuhasabah dan membantu perdana menteri untuk mentadbir dengan baik, dan bukan hanya pandai mendesak pada saat negara amat memerlukan kepimpinan mantap.

Beliau berkata, sekiranya keadaan ini berterusan negara akan berdepan dengan cabaran yang bukan sahaja menyusahkan rakyat, tetapi juga kemelesetan ekonomi berpanjangan.

Pilihan raya akan tetap diadakan dan tempohnya sehingga 2023, oleh itu beliau berkata perlu diutamakan rakyat dan tumpu kepada penyelesaian pelbagai masalah negara yang dihadapi terlebih dahulu.

Jangan sampai kumpulan B40 merudum menjadi kumpulan B80 akibat desakan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

-BTS Media

Leave a Comment