BTS Media

Apabila Lebuh Acheh di Tanjong adalah ‘Jeddah Kedua’

GAMBAR ATAS: Kapal haji.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

KAWASAN Lebuh Acheh di George Town, Pulau Pinang (yang dipanggil ‘Tanjong’ oleh orang sebelah utara), merupakan antara destinasi popular dalam kalangan pelancong untuk makan dan melawat masjid ikonik yang dibina oleh masyarakat Aceh pada abad ke-19.

Tetapi, pada zaman dahulu jalan ini menarik orang ramai atas sebab yang sangat berbeza.

Jalan yang pernah dikenali sebagai “Jeddah Kedua”, digunakan sebagai tempat berkumpul untuk jemaah haji dari 1870-an hingga awal 1970-an.

Menurut penulis dan antropologi budaya Abdur-Razzaq Lubis, bakal jemaah haji dari Sumatra, Indonesia datang ke Pulau Pinang dan Singapura untuk menaiki ‘kapal haji’, lapor FMT.

Pada zaman kapal layar, pelayaran dari Malaya ke Jeddah mengambil masa sehingga tiga bulan, dan kadangkala sehingga setahun, kerana jemaah haji terpaksa menunggu perubahan musim tengkujuh, atau hingga mereka kehabisan duit.

Dengan kemunculan kapal wap (steamboat), perjalanan dipendekkan kepada sebulan, dan kemudian kepada dua minggu.

Abdur-Razzaq berkata kapal-kapal dari Singapura juga akan datang ke Pulau Pinang untuk membawa jemaah haji ke Jeddah.

Kapal-kapal tersebut pada mulanya adalah kapal kargo yang disewa untuk membawa penumpang. Syarikat perkapalan terkenal masa itu, seperti Blue Funnel Line yang berpangkalan di Liverpool digunakan untuk membawa jemaah haji ke Jeddah.

Kapal-kapal itu akan singgah di Colombo, Sri Lanka, dan kemudian dikuarantin di Kepulauan Kamaran di Yaman, sebelum meneruskan pelayaran ke Jeddah.

Beliau berkata pada masa itu beribu-ribu bakal jemaah menaiki kapal bagi setiap pelayaran, dengan kebanyakan mereka menghabiskan sekurang-kurangnya empat bulan untuk perjalanan haji.

Menurut Abdur-Razzaq, datuk dan neneknya, Raja Shahabuddin dan Rahmah melakukan pelayaran untuk menunaikan ibadah haji mereka pada Disember 1939, dan pulang ke Malaya pada Mac 1940.

Beliau berkata, datuknya adalah antara segelintir jemaah yang menulis tentang perjalanan haji mereka.

Abdur-Razzaq berkata bakal jemaah akan berkumpul di Lebuh Acheh dan tinggal di sana sekurang-kurangnya seminggu dua di beberapa rumah tumpangan di sepanjang jalan itu sementara menunggu ketibaan kapal untuk membawa mereka ke Jeddah.

Dalam tempoh penantian itu, bakal jemaah menjalani kursus haji yang dikendalikan oleh imam Masjid Lebuh Acheh. Masjid itu juga digunakan sebagai tempat tinggal sementara bagi bakal jemaah yang tidak dapat menyewa bilik.

Masjid Lebuh Acheh, Pulau Pinang/ https://travel2penang.org/

Wakil daripada syarikat haji tempatan, yang dikenali sebagai “Sheikh Haji” akan dipertanggungjawab ke atas keperluan jemaah di pelabuhan Pulau Pinang, dan mereka juga akan bertindak sebagai mutawif (pembimbing) jemaah di Tanah Suci pada masa itu.

Di ‘Tanjong’ bakal jemaah meluangkan masa untuk membeli-belah kelengkapan haji dan kitab daripada toko-toko buku tempatan, dan menikmati makanan ‘orang tanjung’, termasuk masakan mamak dan Melayu.

Musim Haji merupakan waktu yang amat menguntungkan bagi peniaga Muslim dan bukan Muslim yang memiliki kebanyakan rumah tumpangan di Lebuh Acheh pada masa itu.

Menjelang 1970an populariti kawasan Lebuh Acheh merosot dengan penubuhan Tabung Haji pada 1969 yang mengambil alih urusan jemaah haji dan seterusnya menjadi agensi utama mengendalikan haji.

Selain itu, perjalanan udara yang juga menjadi pilihan telah menyebabkan semakin kurang bakal jemaah memilih untuk ke Jeddah dengan kapal laut.

Hari ini, walaupun ‘kegemilangan’ musim haji di Lebuh Acheh sudah tiada, namun sejarahnya masih dikekalkan di Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh.

-BTS Media

Leave a Comment