BTS Media

Putrajaya digesa batal rancangan bina lebih banyak lebuh raya di Lembah Klang

GAMBAR ATAS: Lebuh raya bertingkat DASH Highway persimpangan Penchala Link.

 

Dua pakar pengangkutan menggesa kerajaan supaya membatalkan rancangan untuk membina lebih banyak lebuh raya baharu di Lembah Klang, kerana ia tidak akan mampu mengurangkan kesesakan jalan raya.

Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan dan Goh Bok Yen memberitahu FMT bahawa keutamaan kerajaan dalam hal ini jelas telah tersasar.

Menurut Rosli, Lembah Klang kini mempunyai terlalu banyak lebuh raya, dan kerajaan sebaliknya perlu memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan isu berkaitan sistem pengangkutan awam sebelum mempertimbangkan pembinaan lebuh raya baharu.

Beliau berkata sudah tiba masanya diselesaikan isu asas yang memberi masalah kepada sistem pengangkutan awam.

Ini kerana sistem tersebut tidak beroperasi secara optimum dan selalu sangat mengalami kerosakan.

Rosli berpendapat isu ini perlu diberi keutamaan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Beliau berkata kawasan bandar di Lembah Klang dirancang terutamanya untuk kereta,  dan kini nampak kegagalan untuk menggabungkan bentuk-bentuk pengangkutan baharu ke dalam sistem berkenaan.

Semalam (24 Mei), Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata cadangan pembinaan lebuh raya baharu telah diluluskan, sambil menambah bahawa kesesakan lalu lintas akan dapat dikurangkan jika 60% daripada komuter menggunakan jalan raya, dan 40% menggunakan pengangkutan awam.

Pembinaan lebuh raya baharu hanya akan menjauhkan orang ramai daripada menggunakan pengangkutan awam

Bagi Goh pula, pembinaan lebuh raya baharu hanya akan menjauhkan orang ramai daripada menggunakan pengangkutan awam.

Apa yang dilihat sekarang ialah “konflik ketara” di antara pelaburan berbilion ringgit bagi pembinaan laluan tren, koc penumpang dan bas perantara di satu penjuru, dan usaha yang diteruskan bagi membina lebuh raya bandar bertingkat di penjuru lain.

Beliau berkata kedua-duanya tidak saling melengkapi, malahan bersaing.

Tumpuan perlu hanya kepada satu sistem pengangkutan, sementara nisbah sasaran komuter 60% untuk pengangkutan awam dan 40%  kenderaan persendirian. Sistem pengangkutan awam mampu menampung ini.

Goh berkata kementerian pengangkutan perlu menghadkan penggunaan kereta persendirian, seperti mana diamalkan di Singapura dan tidak membenarkan pertumbuhan tidak terkawal mobiliti kenderaan.

Beliau menyaran supaya diwujudkan tol pusat bandar, naikkan caj parkir dan hapuskan subsidi petrol.

-BTS Media

Leave a Comment