SEMUA GAMBAR: Instagram ‘Penang makan’/Nur Dayana Wong.
Oleh Yusoff A. Shariff
KERINDUAN makanan jalanan Malaysia sewaktu menuntut di seberang laut merupakan inspirasi kepada Nur Dayana Azman Wong, 32, untuk menghasilkan buku masakan sendiri.
Buku berjodol “Penang Makan” kini membanggakan negara apabila dipilih sebagai karya terbaik dalam kategori makanan jalanan pada 27th Gourmand Awards di Sweden awal bulan ini.
Beliau mendahului pesaing dari beberapa negara lain, termasuk institut kulinari dari China, Future Food Studio melalui Shanghai Jianbing Street Food, Comida Callejera Guatemala (Guatemala), Bak Fritay (Haiti), dan My Street Food Kitchen dari United Kingdom (UK).
Dilahir dan dibesarkan di Pulau Pinang, Dayana mula mengumpul resipi makanan jalanan kegemaran setelah menamatkan pengajiannya.
Dayana memperoleh ijazah Sarjana Sains Perniagaan Antarabangsa dari Hult Business School, London pada 2017.
Hasrat beliau untuk menulis buku yang lama terpendam akhirnya menjadi kenyataan sewaktu di London, setelah gagal mendapatkan buku tentang masakan tulen Pulau Pinang di bandar raya itu, lapor Bernama.
Anak kepada pasangan Azman Wong Abdullah dan Hayati Ismail ini berkata rasa cinta kepada makanan dan budaya diterap sejak kecil oleh kedua ibu bapanya.
Beliau membesar sambil mempelajari cara memasak dan menghargai masakan tradisional daripada ibunya.
Dalam “Penang Makan”, Dayana turut berkongsi kenangan zaman kanak-kanaknya.
Sekembalinya dari London, beliau bekerja seketika dengan sebuah syarikat swasta sebelum berhenti untuk membantu perniagaan keluarganya.
Dayana mula berkunjung ke gerai-gerai kegemaran di Pulau Pinang, tetapi bukan untuk meminta resipi daripada penjaja, sebaliknya untuk merasai masakan dan mengenal pasti bahan-bahan yang digunakan.
Pendekatan beliau merupakan hasil penyesuaian resipi dalam bukunya yang selari dengan cita rasa dan selera sendiri.
Masa terluang sepanjang pandemik Covid-19 memberi beliau peluang untuk menyusun semua resipi yang diperoleh dan mencuba bersama ibunya.
Dayana yang juga memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of Toronto, Kanada berkata, bukunya mengandungi lebih 50 resipi terpilih untuk orang Malaysia yang berada di seberang laut.
Antara makanan kesukaan Dayana ialah Cucur Udang, dan resipi masakan itu turut dimuatkan di dalam bukunya.
Beliau berkata resipi Cucur Udang Melayu, Cina dan India adalah resipi paling mudah dalam buku tersebut.
Dayana mempunyai impian untuk muncul dalam program masakan di TV atau video sejak kecil bagi mempromosikan makanan Malaysia kepada dunia.
Buat masa ini Dayanan sedang bekerjasama mempromosikan masakan Malaysia di Belgium dengan Duta Malaysia ke Belgium, Ahmad Rozian Abd Ghani, selain membantu dalam acara promosi Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Eropah.
-BTS Media