BTS Media

Bantu ‘homestay’ sebenar, bertindak ke atas premis tidak berlesen, demi keselamatan tetamu, kejiranan

GAMBAR ATAS: Adznee Abas from Shah Alam, Malaysia, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Maksud ‘Homestay’ ialah apabila pengunjung bermalam di penginapan disediakan oleh tuan rumah yang mungkin tinggal bersendirian atau bersama orang lain di rumah yang sama.

Ia bukan homestay jika tetamu tidak diterima dan dilayan oleh tuan rumah sepanjang penginapan mereka. Ini semata-mata kerana rumah itu sendiri bukanlah rumah kediaman dalam erti kata sebenar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, platform pemasaran dalam talian seperti Airbnb didapati telah merampas istilah “homestay” untuk merangkumi sewaan di rumah-rumah tanpa hos (tuannya).

Apabila seseorang hanya menumpang di sesebuah unit pangsapuri atau rumah kosong tanpa berinteraksi dengan tuan rumah, mereka sebenarnya hanya menyewa kediaman itu untuk kegunaan persendirian.

Maksudnya adalah sama, hanya istilah berbeza, tulis seorang pembaca kepada portal FMT.

Kegiatan menyewa keseluruhan unit apartmen atau rumah bagi penginapan jangka pendek perlu mempunyai lesen daripada pelbagai pihak berkuasa tertentu. Ini untuk menjaga keselamatan tetamu dan jiran.

Ia juga memerlukan syarat-syarat khas untuk beroperasi sebagai kegiatan perniagaan sah, untuk tujuan yuran dan cukai tertentu.

Bagaimanapun, bagi penduduk yang menyewa apartmen atau rumah untuk penginapan jangka panjang, perjanjian penyewaan biasanya ditandatangani untuk selama setahun atau lebih antara pemilik dan penyewa.

Apabila hanya menyewakan bilik tidur, kedua-dua pihak kemungkinan bersetuju dengan pembayaran deposit, dan sewa bulanan pula memerlukan bayaran pendahuluan.

Cara tersebut didapati telah diamalkan dengan baik sejak sekian lama, dan tidak memerlukan sebarang campur tangan pihak berkuasa.

Tetapi, apabila keseluruhan pangsapuri atau rumah disewakan oleh pemilik atau disewakan oleh usahawan untuk tetamu jangka pendek, pengunjung yang membuat bising atau tidak dikawal akan mengganggu jiran dan seluruh penduduk kondominium.

GAMBAR: CEphoto, Uwe Aranas via Wikimedia Commons.

Apabila berfungsi seperti hotel, sesebuah premis penginapan tidak berlesen ini tidak seharusnya dibenarkan terus beroperasi, melainkan jika premis, seperti kondominium itu dibina khas di kawasan peranginan, dan majoriti pemilik pula bersetuju bahawa orang luar boleh masuk dan keluar premis sepanjang masa.

Jika tidak, kejadian tidak diingini boleh berlaku, seperti insiden di sebuah kondominium di Ipoh pada Disember 2020 apabila seorang tetamu “homestay” berang kerana anaknya dihalang daripada menggunakan kolam renang yang ditutup, justeru telah menyerang seorang pengawal keselamatan warga emas yang hanya menjalan tugasnya.

Ini kerana tetamu yang telah membayar untuk menginap di sebuah apartmen, pasti menganggap kondominium yang disewa itu seperti sebuah hotel, dan berpendapat mereka berhak menggunakan sepenuhnya semua kemudahan yang ada, terutama kolam renang.

Dalam kejadian itu, apabila si anak tidak dibenarkan ke kolam mandi, si ayah naik berang lalu menyerang pengawal keselamatan dengan meja.

Si ayah pada mulanya didakwa kerana menyebabkan kecederaan teruk, tetapi kes bertukar menjadi kes pembunuhan kerana pengawal si pengawal meninggal dunia akibat kecederaannya beberapa bulan kemudian.

Disebabkan kejadian sebeginilah maka Exco kerajaan negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo mengumumkan bahawa penyewaan jangka pendek di hartanah tanah dan premis bertingkat akan diharamkan tidak lama lagi di negeri itu.

Ia susulan banyak aduan oleh penduduk yang terpaksa menanggung pelbagai masalah tidak berkesudahan disebabkan oleh penyewa mengganggu ketenteraman kejiranan.

Dalam keadaan sebegini, konflik kecil dapat di atasi, tetapi lambat laun boleh mencetuskan keganasan serius.

Dalam konteks lain, homestay yang tulen perlu dibenarkan beroperasi dan dipromosikan. Kediaman yang mempunyai bilik lebih digunakan untuk disewa kepada tetamu. Bayaran yang diterima pemilik boleh digunakan untuk membiayai kos baik pulih rumah, apartmen atau mengurangkan kos sewaan.

Perkongsian rumah cara ini membolehkan pelawat merasai layanan oleh tuan rumah dan menawarkan pengalaman pelancongan terbaik.

Konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak beberapa dekad, pelajar telah menyertai program pertukaran tinggal bersama keluarga angkat untuk merasai budaya asing.

Bagi pelancong, Program Homestay (Inap Desa) Malaysia (MHP) telah dilancarkan oleh kementerian kebudayaan, kesenian dan pelancongan ketika itu pada 1995.

Program tersebut memerlukan penyertaan sekurang-kurangnya 10 rumah di sesebuah kampung, sementara yang lebih besar akan melibatkan beberapa kampung. Di seluruh negara terdapat 199 kluster inap desa disertai oleh 3,878 rumah dengan 5,445 bilik.

GAMBAR: Ardeka Balian Aga Fo…, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons.

Pemilik rumah yang berdaftar dilaporkan mendapat 240,000 tetamu setiap tahun, dengan 79% terdiri daripada rakyat Malaysia, sementara Singapura, Jepun, Korea Selatan, China dan Eropah mencatatkan 89% keseluruhan pelancong asing. Daripada ini 94% memilih Johor, Sabah, Melaka, Selangor dan Sarawak sebagai destinasi.

Program Inap Desa (homestay) ini memberi peluang kepada pelancong untuk tinggal bersama sesebuah keluarga, justeru berinteraksi, merasai kehidupan seharian serta mempelajari budaya dan gaya hidup masyarakat luar bandar di Malaysia. Ia bukan sekadar kemudahan penginapan, tetapi juga memberikan tumpuan kepada pengalaman, termasuk aktiviti budaya dan ekonomi kawasan setempat.

Walaupun penginapan tidak berlesen boleh ditawarkan dan malah dipromosikan di lokasi tanpa kemudahan hotel berdekatan, namun ia sepatutnya tidak boleh membenarkan pelabur dan usahawan hartanah mengambil peluang menukar kediaman persendirian kepada hotel tidak berlesen, justeru mendatangkan bahaya kepada tetamu dan kejiranan premis. Tindakan membenarkan aktiviti “hotel tidak berlesen” secara berterusan bukan sahaja menimbulkan syak berlaku rasuah, tetapi juga mempromosikan ekonomi bayang di mana premis berlesen secara tidak langsung terpaksa menanggung kerugian.

-BTS Media

Leave a Comment