BTS Media

Memori Aidilfitri di desa dan duit raya Pakcik Ajmain

GAMBAR ATAS: Surau di Kampung Parit Serong tempat penulis solat Aidilftiri pada era kanak-kanak tahun 60-an. Bagaimana pun ini adalah surau yag sudah diubah suai daripada surau asal.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

Kedatangan Aidilfitri mengimbau banyak kenangan ketika penulis masih kanak-kanak dan bersekolah rendah, sekitar tahun 60-an. Sudah lebih enam dekad berlalu tetapi kenangan menyambut lebaran di desa tercinta tidak pernah luput dari ingatan.

Meraikan Aidilfitri pada zaman kanak-kanak adalah antara momen paling indah dalam hidup penulis. Dalam suasana Kampung Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak sunyi dan tidak ramai penghuni, hari raya disambut sederhana tetapi meriah. Jiran-jiran semua seperti saudara mara kerana hubungan begitu mesra.

Pada era itu, sehingga saat akhir baru diketahui tarikh raya. Penentuan dibuat melalui kaedah rukyah atau melihat anak bulan. Pengumuman rasmi hari raya hanya penulis ketahui melalui jiran-jiran yang ada radio.

Ada juga sekumpulan anak muda berkeliling kampung memberi makluman. Ketuk-ketuk atau kerentung di surau pula dibunyikan bertali arus. Fahamlah orang kampung esok hari raya. Suasana riang menyelubungi seluruh desa. Kesibukan pun bermula, masak memasak atau menyediakan keperluan lain.

Lampu minyak tanah sudah dipasang sejak semalam dua sebelumnya, menghiasi dan menerangi halaman rumah. Ditambah dengan sinaran lampu dari rumah jiran, persekitaran begitu terang.

Ketika ini jugalah ayah akan meminta lampu gaseline dipasang. Biasanya ini tugas penulis atau abang. Lampu ini dipasang hanya pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Cahayanya terang memenuhi rumah, malah melimpah hingga ke halaman.

Malam itu sangat meriah. Kanak-kanak bermain berkejaran dalam sinaran lampu. Ada yang sudah mula bermain mercun, bunga api dan meriam. Namun biasanya anak muda kampung hanya akan bermain mercun dan meriam menjelang subuh hari raya.

Kerana itu malam raya penulis susah tidur, tidak sabar menunggu subuh.


Kerana itu malam raya penulis susah tidur, tidak sabar menunggu subuh. Sementara emak dan kakak sibuk di dapur, penulis dan abang membawa keluar mercun yang dibeli ayah. Tidak banyak pun, hanya dalam 10 papan atau lebih. Kami faham kemampuan ayah.

Di samping itu memastikan karbaid, bahan bakar untuk meriam, berada dalam keadaan baik, kering dan tidak tercemar dengan air. Meriam penulis hanyalah meriam buluh, mudah dibuat dan tidak perlu modal, hanya tebang buluh, kemudian kerat menurut ukuran tertentu.

Buang ruas kecuali bahagian paling bawah. Inilah tempat menampung karbaid dan air. Buat lubang di bahagian bawah badan buluh dekat ruas tersebut. Untuk memasang, masukkan karbaid serta sedikit air dari atas. Apabila berasap, cucuh lubang yang sudah sedia dibuat. Berbunyilah meriam tetapi tentu sahaja tidak sekuat meriam tanah, meriam batang pinang atau batang kelapa.

Memang meriah mendengar bunyi mercun dan meriam bersahut-sahutan satu kampung, juga dari kampung berdekatan.

Bagai saling berbalas tembak. Meriam batang kelapa memang boleh kedengaran sehingga menerjah tiga kampung.

Semakin cerah cahaya pagi, bunyi mercun dan meriam berkurangan. Semua bersedia untuk ke surau. Penulis dan abang ketika ini berhenti bermain dan mandi di kolam tepi rumah. Sebentar lagi akan mengikut ayah ke surau untuk solat sunat Aidilfitri.

Surau terletak di Kampung Parit Serong, kampung yang mesti dilalui oleh penulis jika hendak keluar ke pekan. Keluarga penulis kenal dengan semua penduduk kerana kerap lalu lalang di kampung berkenaan.

Selepas menjamah sedikit makanan masakan emak sebagai alas perut, penulis bergerak ke surau dengan berjalan kaki. Hampir dua kilometer jaraknya dari rumah. Tetapi berjalan beramai-ramai dengan kawan-kawan tidak terasa.

Sampai di surau, suasana meriah menanti. Ramai sudah berkumpul. Anak kampung di perantauan ramai balik berhari raya. Benarlah, hari raya adalah hari berkumpul saudara mara, rakan-rakan dan orang kampung yang selama ini mencari rezeki di perantauan. Waktu inilah bertemu dalam suasana penuh mesra.

Ketika orang di surau bertakbir, penulis dan kawan pula sibuk bermain mercun. Memang hingar mengganggu jemaah yang sedang bertakbir. Akan ada ahli jemaah yang mengejar kami sambil memberi ingatan agar tidak membuat bising! Kelakar sungguh.

Kira-kira pukul 9 pagi, selesai solat dan khutbah Aidilfitri. Jemaah saling bermaafan dan kemudian disajikan dengan hidangan yang dibawa oleh jemaah dari rumah. Ada ketupat, lemang dan rendang serta pelbagai makanan lain termasuk kuih muih.

Kesemuanya dibahagi sama rata sama rasa untuk dinikmati. Air minum disediakan oleh pihak surau.

Habis menjamu selera adalah saat yang ditunggu oleh kanak-kanak. Mereka sudah siap berkumpul di bawah surau menunggu kelibat Pakcik Ajmain. Beliau adalah penjual apam balik di pekan sehari. Jemaah tahu setiap tahun menjadi rutin Ajmain memberi duit raya kepada kanak-kanak.

Ajmain membawa bersamanya sebuntil duit syiling untuk diagih. Ada yang dapat sekupang (10 sen), dua kupang (20 sen), tiga kupang (30 sen) atau lima kupang (50 sen) menurut pertimbangan beliau. Penulis selalunya dapat 20 sen, jumlah yang besar ketika itu. Bayangkan sekati (600 gram) ikan kembung hanya berharga 25 sen.

Selesai solat Aidilfitri, diteruskan dengan kunjungan ke rumah beberapa penduduk. Biasanya dalam 10 buah rumah. Setiap rumah mengambil masa sehingga setengah jam. Pelbagai jamuan disajikan di setiap rumah. Lemang, rendang dan ketupat serta kuih muih semua ada.

Apabila sampai ke rumah terakhir, perut penuh badan keletihan.


Apabila sampai ke rumah terakhir, perut penuh badan keletihan. Waktu juga sudah merangkak ke tengahari dan mata rasa mengantuk. Apakah pilihan terbaik selain balik ke rumah berehat sambil menunggu jika ada saudara mara dan tetamu datang.

Suasana meriah ini sudah tidak dirasai di kampung penulis. Walau pun desa sudah maju dengan ada bekalan elektrik, air, telefon dan jalan tar, kampung semakin sunyi. Ramai generasi lama sudah pergi menghadap Ilahi. Anak-anak pula jarang balik kampung kerana ibu bapa sudah tiada.

Ayah dan emak penulis juga sudah lama pergi. Pakcik Ajmain yang baik hati juga sudah lama tiada. Semoga Allah membalas budi baiknya. Kisahnya memberi duit di pagi raya tetap menjadi bualan orang kampung, terutama yang sama generasi dengan penulis.
Semua kisah indah ini sudah berlalu.

Sesungguhnya sambutan hari raya di zaman kanak-kanak penulis memang sangat meriah. Namun masa tidak boleh diputar kembali. Yang tinggal hanyalah memori indah sentiasa tersemat di lubuk hati.

BTS Media

Leave a Comment