Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada Rabu berkata badan kehakiman bukan tidak boleh dikritik, tetapi orang ramai, termasuk ahli politik tidak seharusnya membuat serangan tidak berasas terhadap hakim dan menjejaskan keyakinan terhadap mahkamah untuk kepentingan agenda mereka.
Oleh itu, beliau berkata rakyat, termasuk ahli politik bebas untuk mengkritik badan kehakiman, tetapi ada hadnya.
Ia tidak bermakna rakyat dan ahli politik bebas melancarkan serangan tidak berasas dan keji terhadap badan kehakiman atau hakim tertentu untuk kepentingan sendiri.
Tengku Maimun tidak merujuk secara spesifik sebarang serangan yang dibuat terhadap pihak kehakiman sejak kebelakangan ini oleh pihak-pihak tertentu.
Bagaimanapun, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali — hakim yang mendengar dan mensabitkan kesalahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd milik kerajaan telah disasarkan melalui tulisan oleh beberapa pihak, termasuk baru-baru ini diserang oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin.
Apa yang disuarakan Tengku Maimun dilihat sebagai jelas mempertahankan badan kehakiman. Ia disambut dengan tepukan gemuruh daripada para hakim dan hadirin lain pada majlis Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman, Putrajaya semalam.
Sokongan begitu dikatan amat jarang barlaku dalam kalangan pihak kehakiman.
Tengku Maimun berpesan kepada kumpulan hakim baharu ini supaya sentiasa kuat pendirian memegang kepada prinsip kebebasan undang-undang dan menjalankan tanggungjawab tanpa berbelah bagi.
Dalam ucapannya, Tengku Maimun merujuk kepada beberapa kes berprofil tinggi dan kes melibatkan kepentingan awam.
Beliau berkata adalah perkara biasa bagi hakim dikritik oleh pihak yang terkesan oleh keputusan mahkamah.
Namun, beliau menambah apa yang berlaku sejak beberapa hari lalu membabitkan fitnah terhadap hakim dan badan kehakiman adalah keterlaluan.
Hakim sama sekali tidak terlepas daripada kritikan awam dan tanggungjawab kerana mereka terbuka kepada penelitian.
Maka disebabkan itulah penghakiman ditulis supaya boleh dibaca, dianalisis, dibincangkan dan dibahaskan.
Malah, menurut Tengku Maimum keseluruhan sistem rayuan adalah berdasarkan kesedaran bahawa hakim tidak sepi daripada ketidaksempurnaan.
Tengku Maimun juga menegaskan bahawa badan kehakiman adalah barisan pertahanan terakhir dalam demokrasi berperlembagaan, justeru jangan sekali-kali ditimbulkan syak wasangka bahawa badan kehakiman bersikap berat sebelah.
Beliau berkata apabila timbul keperluan untuk badan kehakiman dikritik, ia harus dilakukan dengan cara yang membina serta tidak menjejaskan kebebasan dan keyakinan orang ramai terhadap badan itu.
-BTS Media