BTS Media

MEMBIMBANGKAN: Platform ais besar dianggap stabil di Antartika Timur runtuh

ATAS: Gambar satelit daripada NASA menunjukkan fenomena keruntuhan platform ais besar Antartika itu. 

 

Oleh Fetty Rara

Sebahagian platform ais besar di timur Antartika telah runtuh, kata saintis pada Jumaat.

Ia menandakan kali pertama kejadian itu berlaku di benua tersebut.

Platform ais selebar 740 km persegi sebesar bandar raya New York City yang berfungsi membantu menahan glasier Conger dan Glenzer daripada air yang lebih suam, runtuh antara 14 Mac dan 16 Mac, kata Catherine Walker, seorang saintis di Woods Hole Oceanographic Institute kepada The Associated Press.

Pakar ais Universiti Minnesota Peter Neff berkata kejadian itu membimbangkan kerana Timur Antartika mengandungi lima kali lebih banyak ais daripada Antartika Barat, dan jika seluruh wilayah itu cair, ia boleh meningkatkan paras laut di seluruh dunia hingga lebih 50 meter.

Sejak sekian lama saintis berpendapat kawasan yang dianggap stabil itu tidak mungkin terjejas teruk oleh perubahan iklim, tetapi Neff berkata keruntuhan platform itu kini menyangkal persepsi tersebut.

Platform ais Glenzer-Conger mengecut sejak tahun 1970-an, sementara kajian oleh Walker pula mendapati ia mula kehilangan ais dengan cepat pada 2020.

Neff berkata platform ais Glenzer-Conger mungkin telah berada di sana sejak beribu tahun.

Benua Antartika mencatat rekod bersejarah minggu lalu apabila stesen pemantauan di rantau itu mencatatkan suhu sangat tinggi.

Stesen Concordia merekodkan suhu tertingginya, pada -12.2 Celsius, manakala stesen kajian cuaca Antartica milik Rusia di Vostok merekodkan lebih sifar darjah, yang menurut pengkaji cuaca ekstrem Maximiliano Herrera telah mengatasi rekod bulanan sebanyak hampir 60 darjah.

Sementara itu, akhbar The Washington Post melaporkan minggu lalu bahawa lapisan ais Antartika timur kini berada di antara 50 dan 90 darjah lebih panas daripada biasa.

Di bahagian barat benua itu, kebimbangan meningkat berikutan apa yang berlaku pada Glasier Thwaites, yang juga dikenali sebagai “glasier kiamat” kerana saiznya sebesar wilayah Florida di Amerika Syarikat.

Pada awal tahun ini, beberapa kumpulan saintis dari beberapa negara telah memulakan misi untuk menyiasat glasier yang menumpahkan kira-kira 50 bilion tan ais ke laut setiap tahun.

-BTS Media

Leave a Comment