BTS Media

Juliza ambil masa 11 tahun untuk genggam ijazah

Gambar atas: Juliza atau Julie bersyukur kerana berjaya menyelesaikan pengajian walaupun mengambil masa yang lama.

Oleh Khadijah Ibrahim

Esok (18 Mac) adalah hari bersejarah buat Juliza Ameruddin, 37, kerana dia merupakan salah seorang daripada graduan yang diraikan dalam majlis Konvokesyen Universiti Pahang (UMP) ke-15.

Juliza atau mesra dengan panggilan Julie itu bakal menerima ijazah Sarjana Muda Sains Komputer Multi Media Teknologi (Teknologi Grafik dan Multimedia) untuk sesi pagi di Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Mesti ada yang berkata, biasalah bila ikuti mana-mana kursus dan selesai pengajian dapatlah genggam skrol pada hari konvokesyen.

Cerita Julie ini berbeza kerana rakan-rakan yang mendaftar kursus sama dengannya pada 2009, semuanya sudah menerima ijazah masing-masing dan tak kurang juga yang meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.

Bagi anak sulung daripada lima beradik itu, dia reda dengan ‘kelewatannya’ menggenggam skrol ijazah dek penyakit asma kronik atau Brittle Bronchial Asthma dan Osteopenia Secondary yang dihidapinya.

Biarpun lewat, Julie tetap bersyukur kerana dia berjaya mengatasi segala rintangan sepanjang mengikuti pengajian di UMP, hinggalah memperoleh ijazah.

Sokongan ibu bapa merupakan kekuatan kepada Julie untuk mengharungi semua cabaran.

“Alhamdulillah, akhirnya saya konvo juga walaupun lambat. Saya konvo sesi pagi pada 18 Mac ini. Bayangkan, saya ambil masa 11 tahun baru grad untuk dapat Sarjana Muda Sains Komputer Multi Media Teknologi (Teknologi Grafik dan Multimedia). Kalau ikutkan kursus ini tiga ke empat tahun saja.

“Masa belajar duduk di hostel. First year dan second year, saya sihat, nak dekat third year saya dah tak sihat. Dari situlah kerap extend sampai saya lumpuh dan dapat kad OKU (Orang Kurang Upaya).

“Kalau orang tangguh satu atau dua semester saja, saya pula extend sampai enam tahun. Saya masuk UMP pada 2009, kemudian extend dari tahun 2011 sampai 2016, sebab saya on off masuk wad. Paling lama duduk dalam wad dua tahun tak boleh keluar,” ceritanya tentang cabaran yang dilalui.

Jelas Julie, sebelum ditimpa musibah, dia adalah seorang yang lasak dan aktif melakukan aktiviti luar seperti hiking dan melakukan mural. Namun katanya sejak melakukan kerja-kerja mural, dia mula rasa perubahan pada badannya kerana sewaktu melakukan kerja mural banyak terdedah dengan bahan kimia kerana tidak memakai pelitup muka.

“Rasanya sejak saya mula buat mural kot sebab saya tak pakai mask dan bahan chemical itu serang. Asalnya, pihak UMP kata tak boleh extend lagi sebab mereka pun ada had juga. Mereka kata kalau tak ada harapan untuk pulih better berhenti saja.

Ijazah yang diterima merupakan hadiah kepada keluarga tercinta.

“Masa tu saya dah ada kad OKU dan Naib Canselor UMP, Datuk Yuserrie Zainuddin antara yang sokong saya untuk sambung pengajian. Waktu tu saya memang dah tak ada duit langsung dan hanya bergantung harap dengan duit JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), duit OKU. Itu saja yang boleh nak sambung belajar.

“Kemudian sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) membantu menyediakan kenderaan, selain kerusi roda, wang dan dihantar ke universiti untuk daftar semula selepas enam hingga tujuh tahun bercuti,” katanya yang ikut perancangan awal menghadiri majlis konvokesyen pada 2020 tapi ditangguh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sejak disahkan sakit, setiap hari ke mana Julie pergi, dia akan membawa tong gas seberat lima kilo yang digalas di belakang.

“Hidup saya bergantung kepada tong gas ini. Hari-hari kena bawa tong gas yang berat 5 kilo yang digalas di belakang, macam beg sekolah. Kadang ada yang tiga kilo juga dan kekadang pegang tak galas.

“Saya ada banyak mesin, ada yang mesin besar pakai bag pack tapi saya nak memudahkan diri, saya pakai kat hidung saja untuk konvo nanti,” katanya.

Menurut Julie, dia tetap meneruskan pengajian walaupun sukar kerana rasa sayang sebab sudah pertengahan pengajian. Selain itu, dia mahu tunjukkan rasa penghargaan kepada UMP yang banyak membantu dan orang sekeliling yang sentiasa menghulur bantuan sehingga dia habis pengajian.

Kini Julie menyimpan impian untuk memiliki kedai makan di luar kawasan kampus bagi menjana pendapatan.

“Itu yang buat saya terfikir dan saya fikir nak hadiahkan untuk keluarga terutama ibu bapa. Lepas tu saya fikir sampai bila saya nak susahkan ibu bapa.

“Ramai yang kata baguslah tak putus asa walaupun bertahun-tahun extend dan setengah kata buat apa nak teruskan. Sebenarnya satu saja, mindset kita. Kalau kita tak minat tak boleh nak teruskan tak jadi juga.

“Kawan-kawan sama batch dulu dah buat PhD. Lepas habis pengajian pada 2020, saya kerja dengan UMP sekejap dalam setahun. Saya dah bergelar alumni dah dua tahun,” katanya yang amat menghargai jasa UMP.

Menurut Julie, dia adalah pelajar pertama UMP yang tangguh pengajian dalam tempoh lama. Katanya, sekarang ini pihak UMP sudah hadkan syarat mana-mana pelajar yang ada masalah kesihatan hanya boleh extend untuk dua semester saja.

Hingga kini Julie terpaksa bergantung dengan tong gas untuk pernafasan disebabkan penyakit asma yang teruk dialaminya.

Tambah Julie, dia akan sentiasa kenang jasa UMP kerana sewaktu belajar lagi, dia diberi peluang untuk mengendali kafe di kawasan kampus iaitu Julie Global Empire Café.

“Sejak sekolah lagi saya minat berniaga. Kafe kat UMP tu pun saya mohon ikut prosedur dan alhamdulillah rezeki saya dapat. Rata-rata pekerja di kafe adalah pelajar yang mahu cari wang saku.

“Impian saya nak kembangkan kafe tapi takut dengan masalah kesihatan kerana bulan lepas (Februari) saya masuk ICU lagi. Kalau nak buka francais tu belanja lebih lagi. Macam saya ni pula, kafe pelajar, bila budak cuti semester dah tak ada orang, bisnes teruk.

“Saya berazam kalau ada kedai di luar kawasan kampus saya naklah berniaga. Saya tak tahu saluran mana yang boleh percaya dan bantu golongan OKU macam saya ni.

“Kalau ada kafe besar yang saya impikan, bolehlah buat bakeri sendiri dan supply barang-barang kek. Masalah sekarang, saya kekurangan modal untuk membuka kafe di luar kawasan kampus. Kalau ada pihak yang sudi untuk membantu saya dari segi modal, amat saya alu-alukan,” katanya terus terang.

Antara alat pernafasan yang diguna oleh Julie.

Julie memerlukan modal untuk membuka kedai makan di luar kawasan kampus.

-BTS Media

Leave a Comment