PEMUDA Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) menegaskan bahawa mereka menolak hasrat Barisan Nasional (BN) untuk menyertai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Hajiji Noor.
Sayap itu berkata bahawa komposisi semasa GRS sudah mencukupi bagi membentuk kerajaan yang stabil, termasuk 29 kerusi GRS, lima Adun bebas serta sokongan daripada Upko, PH, KDM dan Star.
Pemuda Gagasan menegaskan bahawa kerajaan negeri kekal kukuh walaupun tanpa BN, ditambah pula dengan enam Adun lantikan yang dianggap mampu mengukuhkan lagi pentadbiran Sabah. Mereka juga menegur bahawa keputusan pengundi perlu dihormati kerana rakyat Sabah jelas telah menoalak BN untuk berada dalam kerajaan.
Terdahulu, BN melalui setiausaha agungnya, Zambry Abd Kadir, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Hajiji demi “kestabilan” Sabah. Namun, Pemuda Gagasan mengingatkan pengalaman lalu, termasuk kejadian pada tahun 2023 yang dikaitkan dengan percubaan BN mengetepikan GRS daripada tampuk kuasa.
Sayap itu turut mengulas bahawa BN sebelum ini secara terbuka menolak kerjasama dengan GRS dan malah didakwa melancarkan serangan politik terhadap gabungan tersebut. Justeru, langkah BN untuk kembali menawarkan kerjasama dianggap tidak selari dengan kehendak rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda Umno Malaysia melalui ketuanya, Akmal Saleh, mencadangkan supaya BN Sabah menjadi pembangkang bersama Warisan dan PN sebagai usaha membawa isu rakyat. Beliau turut menyatakan bahawa keputusan PRN terbaharu menunjukkan bahawa rakyat Sabah mahu BN memainkan peranan pembangkang dan melakukan pembaharuan sebelum boleh kembali diyakini.
-BTSMedia.my



