KEMENTERIAN Pendidikan telah memperkenalkan sekolah terapung pertama negara di Tasik Banding, Gerik pada bulan Oktober lalu sebagai inisiatif memperluas akses pendidikan kepada murid Orang Asli.
Usaha itu diperkenalkan di bawah Program Khas (ProKhas) kementerian berkenaan sebagai ruang pembelajaran alternatif kepada komuniti di kawasan pedalaman, lapor Bernama.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sekolah terapung tersebut dibangunkan sebagai usaha berasaskan masyarakat bagi menangani cabaran berlarutan, khususnya dalam menarik minat murid Orang Asli ke sekolah serta memahami kekangan yang menghalang mereka daripada mengikuti pendidikan formal.
Beliau berkata sambutan awal sangat positif dan usaha membawa lebih ramai murid dari kawasan pedalaman sedang diteruskan.
Menurut Fadhlina, pendekatan sekolah terapung merupakan komitmen berterusan kementerian untuk memastikan tidak ada murid yang tercicir, selain sebagai usaha meyakinkan kepercayaan masyarakat setempat.
Model tersebut juga dijangka terus diperhalusi agar dapat berfungsi sebagai penyelesaian jangka panjang yang mampan.
Dari segi pelaksanaan, proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terapung itu disesuaikan mengikut umur dan keupayaan murid. Guru menggunakan pendekatan berbeza mengikut tahap, termasuk penilaian berkala bagi merancang perkembangan pembelajaran secara berperingkat.
Program itu melibatkan tiga kampung, iaitu Kampung Charuk Bus, Kampung Tebang dan Kampung Chiong, membabitkan 47 murid berusia antara enam hingga 16 tahun sejak pembukaannya pada 13 Oktober.
Kelas dijalankan pada setiap hari Isnin hingga Rabu bawah bimbingan dua guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Kemar K11. Murid dibahagikan kepada kumpulan junior dan senior. Pendekatan pembelajaran berasaskan permainan, termasuk permainan huruf dan aktiviti nyanyian.
Sebelum penubuhan sekolah terapung itu, murid Orang Asli perlu menaiki bot selama 20 minit sebelum meneruskan perjalanan darat ke SMK RPS Banun, menyebabkan kos perjalanan meningkat dan memaksa ramai tinggal di asrama jauh daripada keluarga.
-BTSMedia.my



