UNIVERSITI MALAYA (UM) sedang meneliti semula sebuah artikel terbitan Jurnal Al-Tamaddun tahun 2018 selepas seorang sarjana bebas membangkitkan kebimbangan bahawa penulisnya telah memetik sumber satira sebagai fakta.
Sarjana bebas, Sharifah Munirah Alatas, dilaporkan menggesa agar artikel itu ditarik balik selepas mendapati ia mengandungi dakwaan daripada portal satira “The Onion” yang menyatakan bahawa tamadun Yunani purba kononnya “sepenuhnya rekaan ahli sejarah.”
Menurut laporan FMT, UM memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan integriti akademik dan kredibiliti penyelidikan.
Universiti itu turut memaklumkan bahawa semakan menyeluruh terhadap artikel berkenaan serta proses editorial sedang dijalankan.
Artikel berkenaan ditulis oleh seorang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini menarik perhatian selepas beliau sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai asal usul Melayu purba.
“UM mengambil serius isu ini kerana ia berkaitan integriti akademik dan kredibiliti penyelidikan. Semakan ini akan menentukan tindakan yang sewajarnya diambil, selaras dengan komitmen UM terhadap standard tinggi penyelidikan dan etika penerbitan,” lapor FMT.
Universiti itu turut menegaskan komitmennya terhadap etika penyelidikan dan tanggungjawab akademik.
— BTSMedia.my



