GAMBAR: Dilesenkan oleh Wikimedia Commons.
ANGGOTA bomba Los Angeles bertungkus-lumus cuba mengatasi kebakaran hutan besar-besaran ketika angin bertiup kencang membawa api ke kawasan kejiranan yang tidak terjejas sebelum ini.
Sekurang-kurangnya 16 orang disahkan maut akibat kebakaran yang memusnahkan kediaman dan menguji ketabahan beribu-ribu anggota bomba.
Kebakaran di kejiranan mewah Pacific Palisades terus merebak ke timur, justeru mengancam koleksi tak ternilai di muzium seni Getty Center dan utara ke Lembah San Fernando yang padat dengan penduduk, lapor media tempatan.
Angin yang reda seketika, bagaimanapun bertiup kencang semula, memberi petanda kepada kemusnahan pada hari-hari mendatang.
“Keredaan cuaca akan kembali kritikal hari ini di selatan California dan akan berlanjutan hingga minggu depan,” kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.
Ini mungkin membawa kepada kebakaran berterusan dan masalah baharu.
Orang ramai yang terselamat dinasihatkan supaya tidak di luar dan memakai pelitup muka bagi mengelak terhidu zarah toksik daripada asap tebal di kawasan terjejas.
Pada hari Sabtu, kebakaran di Pacific Palisades berjaya dikawal sebanyak 11 peratus, tetapi kembali marak hingga memusnahkan kawasan seluas 9,500 hektar, manakala keadaan di 5,665 hektar kawasan Eaton hanya berjaya dikawal sebanyak 15 peratus.
Menurut ketua divisyen bomba Cal Fire Todd Hopkins, angka rasmi menunjukkan lebih daripada 12,000 struktur terbakar, termasuk rumah kediaman, bangunan, kenderaan ‘campervan’ RV, kereta dan stor.
Kejadian mencuri yang semakin meningkat memaksa pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam, dan anggota National Guards (Pengawal Keselamatan Kebangsaan) bersama polis mengadakan sekatan jalan raya bagi menghalang orang ramai memasuki zon bencana.

Keadaan semakin menguji kesabaran penduduk yang beratur hingga 10 jam untuk melihat sama ada kediaman mereka masih wujud.
Orang ramai juga marah kerana pengurusan yang lemah, dan ribuan pili bomba yang didapati kering tidak menyalurkan air sejak awal kebakaran.
Kekecohan mendorong pihak bandar raya mengambil tindakan tegas, termasuk menangani desakan supaya memecat pengarah bomba.
Susulan itu, satu sidang akhbar diadakan selepas ketua bomba LA Kristin Crowley berkata jabatan bomba kekurangan dana.
“Jabatan bomba perlu dibiayai dengan betul, tapi tidak” kata Crowley kepada Fox TV.
Antara yang dilaporkan maut dalam kebakaran di LA termasuk bintang kanak-kanak Australia Rory Sykes, yang muncul dalam rancangan TV British “Kiddy Kapers” pada 1990-an.
Pasukan penyelamat menggunakan anjing pengesan untuk menyisir kawasan kebakaran setelah dilaporkan bahawa beberapa orang masih hilang, dan kebimbangan bilangan mangsa yang maut akan meningkat.
Siasatan secara besar-besaran juga dilancarkan bagi menentukan punca kebakaran, melibatkan FBI, Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Letupan (ATF), bersama pihak berkuasa tempatan, kata Sherif Los Angeles Robert Luna.
Walaupun kebakaran boleh sengaja dicetuskan dengan niat jahat, ia selalunya berlaku secara semula jadi, dan merupakan fenomena dalam kitaran hayat persekitaran.
Kawasan bandar mendedahkan penduduk kepada risiko dan bahaya memandangkan iklim yang tidak menentu, ditambah pula penggunaan bahan api fosil tidak terkawal.
-BTS Media