BTS Media

Kerajaan perlu jawab isu adendum

PADA 6 Jan, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 memberikan kebenaran kepada Najib Razak untuk menghujahkan sama ada wujud atau tidak titah adendum terkait dalam pelaksanaan baki hukuman penjara untuk dijalankan di rumahnya.

Kini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar hujahan pihak Najib dan pihak kerajaan sama ada titah itu wujud dan sekiranya ia wajib dilaksanakan.

Penulisan ini tidak berniat sama sekali mempertahan Najib Razak. Malah jauh sekali daripada itu.

Tugas membawa Najib ke muka pengadilan dan seterusnya melalui proses hukum sehingga selesai telah pun dilangsaikan. Ia berlaku pada PRU14 apabila rakyat telah secara besar-besaran keluar ke peti undi.

Yang menjadi persoalan utama sekarang adalah: Apa pendirian kerajaan dan kabinet Madani dalam perkara ini?

Kronologi peristiwa pengampunan / lega hukum Najib akan menunjukkan isu ini dan kegagalan ini membawa kepada resah dan bingung di kalangan rakyat.

Tidak keterlaluan untuk kita simpulkan bahawa terdapat isu terkait dengan jenayah sama ada menghina kuasa sah di sisi undang-undang bagi penjawat awam ataupun secara ekstremnya pengabaian tanggungjawab dan/atau pengkhianatan dan/atau pelanggaran sumpah setia kepada perlembagaan.

Pada 2 Feb 2024, satu kenyataan dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya antara lainnya mengesahkan bahawa Najib memperoleh lega hukum (enam penjara dikurang dari 12 tahun dan denda RM50 juta dikurang dari RM210 juta) pada tarikh 29 Jan.

Persoalan ditimbulkan Najib adalah bahawa terdapat satu titah adendum (tambahan) pada tarikh sama yang juga menyatakan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah menitahkan baki hukuman pemenjaraan Najib adalah dijalankan di rumah kediaman (house arrest).

Pada 14 Feb 2024, 22 Mac 2024, 29 Mac 2024 dan 19 Feb 2024, Najib menulis kepada sama ada peguam negara dan/atau perdana menteri dan/atau timbalan perdana menteri dan/atau Lembaga Pengampunan dan/atau menteri dalam negeri dan/atau pengarah penjara dan/atau menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan/atau ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri.

Tiada jawapan diperoleh. Maka Najib ke mahkamah pada April 2024.

Saya tidak berniat mengulas sama ada Najib layak diampun atau sebaliknya.

Tetapi persoalan jauh lebih penting mengapa kerajaan, kabinet dan/atau pihak-pihak yang dinamakan di perenggan 9 di atas ini tidak menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diutarakan?

Tak telus, tak berani buat penjelasan

Kegagalan ini menunjuk bahawa kerajaan ini tidak ada ketelusan. Tidak ada keberanian untuk membuat penjelasan.

Perdana menteri menyatakan ia sub judis. Tetapi isu sub judis hanya diguna pakai sekiranya mahkamah telah bersidang. Dari bulan Feb ke April ada 60 hari. Isu sub judis tidak wujud lagi!

Mengapakah Menteri Wilayah tidak jawab bagi pihak Lembaga Pengampunan?  Bukankah menteri wilayah wakil kerajaan dalam Lembaga Pengampunan?

Mengapakah peguam negara tidak jawab? Bukankah peguam negara yang dilantik atas nasihat perdana menteri merupakan penasihat undang-undang kerajaan serta ahli Lembaga Pengampunan?

Mengapakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak jawab? Bukankah dia menyelia hal ehwal parlimen, undang-undang dan hal ehwal pentadbiran Lembaga Pengampunan?

Mengapakah menteri dalam negeri tidak jawab? Bukankah menteri ini antara tanggungjawabnya adalah Jabatan Penjara?

Mengapakah timbalan perdana menteri tidak jawab? Bukankah dia juga memeriksa surat-surat permohonan dari Najib?

Isu wujud atau tidak addendum adalah perkara kedua. Yang penting mengapa kerajaan gagal jelaskan pada peluang paling awal surat-surat Najib ini?

Persoalan ini yang paling penting. Kerana rakyat hendak faham apa pendirian kerajaan.

Jelas pihak-pihak yang dinamakan di atas gagal dalam melaksana tanggungjawab mereka.

Akhirnya, pendirian perdana menteri juga dipersoal. Dari tahun 2022 semenjak dilantik sebagai PMX sentiasa basah lidah dengan frasa ketelusan, tata kelola, reformasi institusi dan integriti.

Sekarang kelu. Tiada kata. Hanya senyap sebagaimana tiada jawapan kepada permohonan Najib pada Februari 2024.

Dari Februari 2024 membawa ke Januari 2025, kerajaan gagal melaksana sumpah mempertahan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang terkait dengan isu ini.

Rakyat berhak menuntut peletakan jawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) serta menteri dalam negeri.

Mana-mana perdana menteri dan jemaah menteri selepas ini mestilah menasihatkan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja untuk menyiasat keseluruhan prosiding Lembaga Pengampunan pada 29 Jan 2024 serta perlakuan pihak-pihak terlibat.

Selepas itu untuk apa-apa syor berkaitan tindakan undang-undang yang suai manfaat dan perlu supaya isu terkait kegagalan integriti dan/atau penyelewengan fakta tidak berlaku lagi.

Ini isu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

 

Oleh RAFIQUE RASHID,  ketua penerangan Pejuang.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/730944

Leave a Comment