BTS Media

Saya hargai kebebasan bersuara tapi ada batas-batasnya, kata Muhyiddin

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin akui kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan mesti dilindungi.

Muhyiddin ketika memberi keterangan dalam saman terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi, berkata anggota pentadbiran kerajaan mesti terbuka menerima komen dan kritikan orang ramai.

“Setiap warganegara berhak menimbulkan isu-isu yang munasabah dan saya bersumpah melindungi hak itu,” katanya ketika disoal peguam mewakili Puad, G Rajasingam.

Muhyiddin berkata, beliau bersumpah melindungi hak itu selaku Ahli Parlimen, menteri, dan perdana menteri.

“Perkara 10 menjamin kebebasan bersuara, tetapi ada batas-batasnya,” katanya, dan menambah beliau menghargai betapa pentingnya kebebasan bersuara.

Ahli Parlimen Pagoh itu pada 1 Mac 2021 memfailkan saman terhadap Puad berhubung catatan Facebook, “Kuarantin Pun Ada Dua Darjat”.

Muhyiddin berkata, catatan Puad itu membayangkan beliau enggan menjalani kuarantin 10 hari sekembalinya daripada lawatan rasmi ke Indonesia.

Katanya, catatan itu mengandungi kenyataan-kenyataan yang tidak benar, tidak berasas, dan nakal, dan memfitnahnya.

Beliau menuntut ganti rugi am, teladan, dan teruk daripada Puad.

Puad mendakwa catatan bertarikh 9 Feb 2021 itu tidak memfitnah Muhyiddin kerana ia hanya mempersoalkan layanan berkait kuarantin Covid-19 antara menteri dan orang awam.

Ketika disoal Rajasingam, Muhyiddin bertegas catatan itu diterbitkan dengan niat jahat.

Katanya, ganti rugi RM10 juta daripada munasabah kerana Puad memfitnahnya.

Muhyiddin bersetuju dengan Rajasingam bahawa Puad adalah pesaing politiknya, namun tidak bersetuju jumlah itu untuk menutup mulut Puad.

Muhyiddin akui tahu Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau memohon injunksi inter partes pada 26 Nov 2021, tetapi tidak merayu keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.

Beliau juga bersetuju dengan peguam bahawa Puad tidak mengambil kesempatan daripada keputusan mahkamah itu dengan menerbitkan semula catatan itu.

Puad juga diwakili Shahrul Fazli Kamarulzaman, Justin Tong, dan Ally Ong; manakala Rosli Dahlan, Bahri Yeow, Hayden Tan, dan Ling Siew Hui mewakili Muhyiddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz ditangguhkan ke 22 Nov.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/08/18/saya-hargai-kebebasan-bersuara-tapi-ada-batas-batasnya-kata-muhyiddin/

Leave a Comment