BTS Media

Kegiatan haram korek bangkai kapal perang bersejarah di laut berlaku sejak sedekad lalu terbongkar

GAMBAR ATAS: Kapal korek menjalankan operasi mengambil logam dari bangkai dua kapal perang British Perang Dunia Kedua yang karam berhampiran Pulau Tioman / Foto: Hazz Zain.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

SEBUAH kapal korek asing yang baru-baru ini dikesan didedahkan menjalankan operasi mengambil besi buruk daripada bangkai kapal perang dunia British yang karam di perairan Kuantan, iaitu HMS Prince of Wales dan HMS Repulse di luar pantai Kuantan.

Kapal korek itu juga dikatakan bertanggungjawab melakukan operasi yang sama terhadap 90 peratus kapal karam Perang Dunia Kedua di rantau ini.

Difahamkan, kapal itu dikehendaki pihak berkuasa Indonesia kerana mencuri bangkai kapal perang Belanda yang karam, iaitu HNLMS De Ruyter, HNLMS Java dan HNLMS Kortenaer di Laut Jawa, lapor NST.

Operasi haram kapal korek itu juga telah dilakukan terhadap beberapa bangkai kapal perang dunia kedua di perairan Singapura, Kemboja dan Vietnam.

Menurut NST, satu sumber berkata kapal korek itu dikenali dalam kalangan komuniti perkapalan kerana aktiviti mencuri yang telah berterusan selama kira-kira 10 tahun.

“Sepuluh tahun lalu, kapal itu kelihatan seperti sebuah tongkang usang. Tetapi ia kini dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi.

LOGAM sekerap yang dipercayai diambil daripada bangkai kapal perang British / Gambar: Hazz Zain.

“Operasi mengambil logam dilakukan secara mekanikal sepenuhnya dari atas kapal, yang dilengkapi dengan kren, alat pengorek besar dan pemotong yang mampu menjangkau sedalam 200 meter untuk menarik sehingga seratus tan logam sekali gus.”

Sumber itu berkata operasi kapal tersebut dapat mengelak daripada dikesan dengan mematikan Sistem Posisi Global (GPS) dan peranti WiFi sebelum bersembunyi.

Menurut sumber itu lagi, anak kapalnya terdiri daripada warga China, Nepal, Bangladesh dan Malaysia yang dibayar lumayan.

“Kapal Perang Dunia Kedua biasanya dibuat daripada keluli, tembaga dan loyang yang bernilai berjuta-juta ringgit kerana tidak dicemari sisa ujian nuklear.”

NST juga memetik satu sumber bahawa kapal yang didaftarkan di China itu menggunakan nama-nama lain apabila menjalankan operasi mengambil logam daripada bangkai kapal  Belanda di perairan Indonesia.

“Bagaimanapun, ia menukar pendaftarannya apabila memasuki Malaysia pada Februari lalu melalui Pasir Gudang, Johor.

“Kapal itu telah memohon permit yang diluluskan oleh Jabatan Laut atas alasan menjalan kerja-kerja ke atas sebuah kapal China yang karam.”

Ia sebaliknya menjalankan operasi mengambil logam daripada kapal perang British yang karam di kawasan berhampiran.

Setelah mengorek bangkai dua kapal perang British itu, kapal korek tersebut kemudian menuju ke jeti persendirian di Tanjung Belungkor, Johor untuk memunggah barang yang dicuri.

Jeti persendirian itu mempunyai tempat menyimpan logam sekerap dan seterusnya mencairkannya menjadi jongkong.

PELURU meriam masih hidup yang dipercayai daripada kapal perang British / Gambar: Hazz Zain.

Sumber itu berkata aktiviti tersebut tidak diketahui ramai, sehingga pihak pengendali limbungan berkongsi sebuah video di TikTok, dan seterusnya menarik perhatian pihak berkuasa.

Video itu kini telah dipadamkan dan polis sedang mencari pihak yang bertanggungjawab.

Ketua Polis Johor Pesuruhjaya Datuk Kamarul Zaman Mahat berkata pegawai dari Jabatan Warisan Negara pada Jumaat lalu memaklumkan mereka mengenai aktiviti mencurigakan di Tanjung Belungkor.

Susulan itu, Satu unit dari Kota Tinggi telah dihantar ke lokasi untuk menjaga keselamatan pegawai Jabatan Warisan Negara.

Suspek bagaimanapun telah melarikan diri apabila pihak berkuasa tiba.

Kamarul Zaman berkata, setiba di lokasi pegawai Jabatan Warisan Negara telah menemui bahan-bahan peninggalan dan besi buruk yang dipercayai daripada kapal HMS Prince of Wales.

Turut ditemukan, 46 peluru meriam yang masih hidup jenis 135mm dan 40mm, dipercayai dari kapal perang itu.

Kesemuanya kemudian dimusnahkan secara terkawal oleh polis di lokasi.

Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan jeti persendirian Tanjung Belungkor kerana lokasi itu masih belum diisytiharkan bebas daripada bahan letupan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata jabatan itu dimaklumkan oleh Jabatan Warisan Negara pada Jumaat mengenai aktiviti kapal korek rampasan tersebut.

“Pasukan peronda telah dihantar ke lokasi serta-merta. Bagaimanapun, tongkang itu berjaya bersembunyi.”

Beliau berkata, kes itu telah diserahkan kepada polis dan Jabatan Warisan Negara.

-BTS Media

Leave a Comment