Oleh Dr Mohamed Rashid Ab RazakĀ
PROGRAM ‘Jom Ziarah Gereja’ yang menjadi kontroversi mutakhir ini adalah satu inisiatif di bawah ‘Projek Artikel 11’ diterajui Impact Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Inisiatif program ini dikatakan bertujuan membuka minda belia Malaysia mengenai budaya dan kepercayaan pelbagai bangsa melalui lawatan dan aktiviti sukarelawan di Lembah Klang.
Pelbagai maklum balas diterima terhadap program ini, termasuk mengaitkan KBS dengan gerakan ‘Evangelist’ namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menolak dakwaan dan setiausaha politiknya membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.
Namun, isu utama yang perlu difokuskan dalam Program ‘Jom Ziarah Gereja’ menerusi Projek Artikel 11 ialah ‘untuk memberikan pemahaman kepada belia semua agama mempunyai persamaan dalam nilai murni dan menganjurkan inisiatif kebajikan’.
Namun dibimbangi ia akan menimbulkan kekeliruan membawa kepada persamaan atau setara antara agama. Persamaan adalah salah satu ciri pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tidak ada paling baik dan tidak ada paling buruk.
Untuk memahami hak kebebasan beragama ditetapkan dalam Perkara 11 Perlembagaan, perlu difahami kebebasan ini tidak mutlak seperti difahami sebahagian masyarakat.
Keistimewaan penganut agama Islam
Walaupun Perlembagaan memberi kebebasan mengamalkan agama, tetapi ia juga mempunyai beberapa sekatan perlu dipatuhi dan pada masa sama memberikan keistimewaan khusus kepada penganut agama Islam.
Terdapat tiga aspek jelas disentuh Perkara 11(1), iaitu hak untuk menganut, hak untuk mengamalkan dan hak menyebarkan agama. Setiap rakyat bebas menganut dan mengamalkan agamanya.
Bagaimanapun, apabila membabitkan hak untuk menyebarkan ajaran agama, Perlembagaan menetapkan had atau batasan melarang tindakan itu dilakukan secara bebas.
Contohnya, Perkara 11 (4) Perlembagaan menyatakan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh mengawal atau menghalang penyebaran doktrin atau kepercayaan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.
Ini bermakna, penyebaran agama atau doktrin selain Islam kepada orang Islam adalah dilarang dan undang-undang boleh dibuat untuk mengawal perkara itu. Ini dapat difahami dengan jelas daripada peruntukan berkenaan.
Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 Negeri Selangor Seksyen 5(1)(c) memperuntukkan kesalahan khusus jika ‘mendedahkan’ Muslim belum dewasa kepada pengaruh agama bukan Islam atau organisasi berkaitan dengan agama bukan Islam.
Sesiapa melakukan kesalahan itu boleh dihukum penjara selama satu setengah tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Seksyen 6(1)(b) pula memperuntukkan kesalahan untuk mendekati seorang Muslim dan mendedahkan mereka kepada sebarang ucapan atau pertunjukan berkaitan dengan agama bukan Islam. Sesiapa melakukan kesalahan ini boleh dihukum penjara selama sehingga enam bulan, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Oleh itu, daripada semua peruntukan di atas, program itu adalah satu kesalahan jika membabitkan orang Islam, terutama golongan belia Muslim.
Walaupun program itu disahkan tidak membabitkan belia Muslim, inisiatif berkenaan patut ditarik balik kerana tidak menghormati hasrat Perkara 11(4) Perlembagaan yang mengekang penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam dan melanggar Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 Negeri Selangor. Terbaru, kerajaan Selangor turut melarang sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Disamping itu, perkataan ‘ziarah’ yang digunakan dalam program juga ini dilihat agak provokatif kerana perkataan berasal daripada bahasa Arab ini agak sinonim dengan hal keagamaan Islam seperti ibadah ‘umrah’ atau ziarah ke Tanah Suci.
Diharap kerajaan di bawah semangat Malaysia MADANI lebih peka dan sensitif menangani isu seperti ini dan meletakkan garis panduan jelas terhadap program seumpama ini supaya tidak menjadi polemik tidak bernoktah sehingga menggugat keharmonian rakyat.