ATAS: Cik Noriah berselfie di antara ribuan anak pokok hutan.
DIA mudah mengenali spesies pokok hutan. Dia mampu memandu lori yang digunakan untuk menghantar anak pokok hutan ke seluruh negara, dan juga pernah menanam sepohon, yan, 33 tahun kemudian telah digunakan untuk membina rumah impiannya.
Wanita itu ialah Cik Noriah Cik Wil, 48, yang mencari makan dengan menanam pokok di Tanah Merah, Kelantan.
Dianggarkan sehingga kini Cik Noriah telah berjaya menanam lebih kurang sejuta pokok hutan, kesemuanya ditanam semula di hutan-hutan serata Malaysia, lapor The Star.
Beliau belajar cara menanam pokok hutan daripada bapanya sejak kecil apabila sering kali menemaninya ke hutan.
Semasa berusia 21 tahun, Cik Noriah dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Pahang memerlukan anak pokok hutan untuk ditanam semula di sebuah kawasan hutan yang dibersihkan secara haram.
Menurut Cik Noriah mereka memerlukan banyak anak pokok stang dan jati. Beliau dan ayahnya mengambil masa empat tahun untuk mencari dan menanam beberapa ratus ribu anak pokok untuk memenuhi keperluan itu.
Beliau berkata pada masa itu di Kelantan tidak banyak perkhidmatan lori, justeru beliau terpaksa mendapatkan lesen memandu lori, dan seterusnya membeli sebuah lori dan memandu sendiri untuk menghantar anak-anak pokok. Lori pertamanya itu masih digunakan hingga ke hari ini.
Cik Noriah berkata, di Kelantan dan Terengganu terdapat hanya antara 15 hingga 20 pengusaha pokok hutan yang digunakan oleh kerajaan dan syarikat pembalakan berlesen sebagai sumber untuk penanaman semula.
Pokok ‘ibu’, jelas beliau akan mampu menghasilkan berpuluh ribu biji benih setiap musim dan boleh dibawa angin jauh berkilometer.
Beliau berkata untuk biji benih bercambah memakan masa hingga dua bulan. Memandangkan biji benih payah didapati, sebagai ganti dicari benih sekurang-kurangnya setinggi 20cm.
Benih digali dengan berhati-hati dan kemudian dihantar ke nurseri Cik Noriah, di mana beliau akan membesarkan sehingga setinggi satu meter.
Beliau berkata anak pokok dijual dengan harga dari RM2.50 hingga RM5.
Dan tahun ini beliau menikmati sendiri nilai pokok berkenaan.
Semasa berusia 15 tahun, Cik Noriah telah menanam benih merawan siput jantan di atas tanah milik keluarganya, dan apabila beliau ingin membina rumah tahun ini, ayah saudaranya mencadangkan supaya menggunakan kayu daripada pokok yang ditanam itu.
Beliau berkata pokok berusia 33 tahun itu membekalkan papan dan kayu seberat 3.7 tan dan menjimatkan kira-kira RM40,000 kos binaan. Tunggul pokok yang ditinggalkan selepas dipotong itu masih hidup, dan Cik Noriah akan menunggu sehingga tumbuh pucuk baharu.
Cik Noriah berharap kerajaan persekutuan akan membekalkan lebih banyak sumber bagi melindungi pokok-pokok ‘ibu’.
Di kawasan pembalakan, pokok-pokok ‘ibu’ dilabel dan Jabatan Perhutanan melarang pembalak berlesen memotongnya.
Beliau berkata sejak kebelakangan ini tidak lagi terdapat benih merbau, sentang atau jati. Mungkin ada pokok-pokok tersebut jauh di hutan telah dipotong secara haram.
Anak-anak pokok yang disemai oleh Cik Noriah juga ditanam semula di hutan-hutan di negeri Kedah.
Menurut The Star, presiden Persatuan Pembalakan Kedah (KTA) Amin Mokhtar berkata bajet sebanyak RM70 juta setahun yang diperuntukkan telah mewujudkan sektor kecil baharu perhutanan.
Nurseri pokok hutan kini juga terdapat di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, kerana penduduk kampung yang berpengetahuan tentang hutan mula menanam beribu pokok-pokok bernilai untuk ditanam semula.
Beliau mahu kerajaan sedar bahawa bajet tahunan yang diperuntukkan sejak 2020 telah mula berhasil, dan oleh itu lebih banyak dana perlu disediakan kepada Jabatan Perhutanan untuk inisiatif tersebut.
Beliau berkata usaha kelestarian ini akan memastikan negara-negara maju, seperti di Kesatuan Eropah dan Jepun meluluskan kayu dari Malaysia.
Kayu Malaysia merupakan eksport ketiga terbesar pada 2020 walaupun berlaku pandemik Covid-19, dan menghasilkan RM22bil selepas minyak sawit dan getah.
-BTS Media