BTS Media

Berdekad dianiayai, Muslim Rohingya masih nyanyi lagu negara yang menzalimi mereka

Lebih lima tahun selepas penghijrahan beramai-ramai kaum etnik Muslim Rohingya dari bumi Myanmar, nasib mereka masih tidak terbela.

 

Mereka tiada negara. Mereka hidup menderita di kem pelarian di Bangladesh. Mereka seolah-olah dikecualikan perikemanusiaan masyarakat dunia.

PERJALANAN melalui udara kira-kira sejam dari Dhaka ke Cox Bazaar, merentasi Teluk Benggala, dan beberapa sungai di negara delta, Bangladesh sentiasa terasa indah.

Selepas itu, diikuti dengan perjalanan darat dari lapangan terbang ke kem pelarian Cox Bazaar yang juga hidangkan dengan pemandangan indah di kiri kanan jalan.

Itulah naratif pendek yang sering kali diluahkan oleh kebanyakan orang asing dan petugas bantuan kemanusiaan antarabangsa yang berulang-alik ke kem-kem pelarian Rohingya di daerah tenggara bersempadan dengan Myanmar itu.

Tetapi, selepas perjalanan yang begitu indah, setiap kali seseorang sampai ke kem tersebut, dia akan disambut dengan kehibaan apabila melihat kehidupan di sana; persekitaran sesak dengan kebanyakan khemah daripada kain terpal,kepingan buluh dan kemudahan sanitasi yang amat terhad.

GAMBAR: Anadolu.

Kawasan luas berbukit, yang pernah menjadi habitat gajah itu, kini menempatkan lebih 1.2 juta pelarian etnik Muslim Rohingya yang teraniaya, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan ganas tentera pada Ogos 2017 di wilayah asal mereka, Rakhine, Myanmar.

Walaupun Bangladesh pada mulanya menghalang mangsa pembunuhan beramai-ramai itu daripada memasuki wilayahnya, namun kemudian ia membenarkan penghijrahan ribuan mereka atas dasar kemanusiaan.

Sejak itu, masyarakat yang tertindas ini terpaksa tinggal di penempatan sementara yang penuh sesak, dibahagikan kepada 34 kem dan juga dianggap sebagai kem pelarian terbesar di dunia.

Selepas menjalani beberapa siri pemeriksaan keselamatan, wartawan Agensi Anadolu yang melaporkan berita ini tiba ke kem nombor 12 untuk melihat dengan lebih lanjut kehidupan dan perjuangan etnik Rohingya di Bangladesh, sebuah negara Asia Selatan yang sesak dengan 165 juta penduduk.

GAMBAR: Tauheed, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.

Letih dengan kehidupan tanpa tanah air

Mohammad Enamullah, 50, bapa kepada empat anak, memberitahu Agensi Anadolu bahawa mereka berterima kasih kepada kerajaan Bangladesh dan rakyatnya atas layanan dan perikemanusiaan  pada masa kerajaan mereka sendiri membunuh tanpa belas kasihan.

“Kami lebih selamat di sini daripada di Myanmar. Tetapi, kami tidak berhajat untuk tinggal di sini selama-lamanya sebagai manusia tanpa kerakyatan. Kami tidak mempunyai masa depan di sini, tiada masa depan untuk generasi baharu kami,” kata Enamullah pada malam ulang tahun ke-5 penghijrahan Rohingya di Bangladesh yang disambut hari ini (25 Ogos 2022.)

Dua daripada empat anaknya dilahirkan di kem pelarian di Bangladesh. “Saya sangat bimbang tentang masa depan anak-anak saya.”

Khemah usang sementara Enamullah terletak di lereng bukit, dan sentiasa berdepan risiko banjir lumpur ketika cuaca buruk.

GAMBAR: Wikimedia Commons.

“Ini bukan kehidupan manusia. Apa salah kami? Mengapa kami lari keluar dari negara sendiri, di mana kami telah wujud selama beberapa generasi?” Isteri Enamullah, Morium Begum, 40, berkata dengan nada penuh emosi sambil menggendong bayi bongsunya. Anak-anak mereka yang lain sedang bermain di tanah berlumpur.

Dia berkata mereka pernah memiliki tanah pertanian, lembu, rumah yang baik, dan harta benda lain di Myanmar sebelum anggota “pembunuh” Tatmadaw (nama rasmi tentera Myanmar) melancarkan operasi pembersihan kejam bertopengkan operasi anti-pemberontak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan banyak pertubuhan lagi menyifatkan apa yang berlaku sebagai contoh ketara “pembersihan etnik”, manakala Amerika Syarikat dan berpuluh organisasi hak asasi manusia melabelkannya sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”

Apabila dunia masih berdiam diri dan sekadar melihat, negara Islam Gambia di Afrika mengambil inisiatif untuk memfailkan kes agar dibicarakan oleh mahkamah tertinggi PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

GAMBAR: Wikimedia Commons.

“Tetapi, kami bosan dengan kehidupan tanpa kerakyatan, tanpa kemajuan ketara dalam usaha penghantaran pulang ke negara asal kami, Myanmar secara bermaruah, selamat, dan dengan hak kewarganegaraan yang telah lama diimpikan,” kata ketua komuniti Rohingya, Abdur Rahim, kepada Agensi Anadolu.

Pernah bertugas sebagai guru sekolah di negara asalnya, Rahim berkata masyarakat antarabangsa tidak seharusnya melewatkan usaha untuk menyelesaikan krisis Rohingya demi kepentingan yang lebih besar di rantau ini.

Tiada harapan untuk dihantar pulang

Bangladesh dan Myanmar telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada November 2017 berhubung penghantaran pulang Rohingya secara aman. Tetapi, tidak seorang pun pelarian Rohingya dihantar pulang dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Malah dua percubaan rasmi untuk memulakan penghantaran pulang menemui kegagalan sejak 2017, kerana tanpa hak kewarganegaraan dan jaminan keselamatan di bawah PBB, masyarakat etnik Rohingya masih trauma tidak bersedia untuk pulang.

Selepas lawatan pertama ke Bangladesh minggu lalu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet sendiri tidak menyuarakan harapan untuk penghantaran pulang secara aman dalam masa terdekat.

Pada sidang akhbar di Dhaka 17 Ogos lalu, beliau secara terbuka berkata tidak terdapat suasana yang membayangkan penghantaran pulang akan berlaku.

GAMBAR: Katie Arnold, w:Voice of America., Public domain, via Wikimedia Commons.

“Malangnya, keadaan semasa di Myanmar masih tidak sesuai untuk pemulangan pelarian ini. Ia perlu dijalankan secara sukarela dan bermaruah apabila keadaan selamat dan mampan wujud di Myanmar,” kata Bachelet.

Beliau, bagaimanapun, menambah: “Komuniti antarabangsa mesti mengekalkan sokongan kepada Bangladesh, dan mendesak Myanmar supaya memenuhi beberapa syarat sebelum pemulangan pelarian berkenaan, iaitu mengenal pasti, menyelesaikan punca krisis dan menunjukkan akauntabiliti.

Kini, persoalan isu ribuan Rohingya kepada para pemimpin dunia masih belum terjawab – berapa lama lagi kehidupan dan nasib mereka harus diabaikan sebelum sifat perikemanusiaan dunia bertamadun yang sering kali melaungkan tentang hak asasi manusia dan keadilan betul-betul dizahirkan?

-BTS Media

Leave a Comment