Saya tertarik dengan polemik yang selalu kita dengar berkaitan soal yang dikatakan pengkhianatan oleh sebilangan Ahli Parlimen yang meninggalkan Pakatan Harapan sehingga runtuhnya Kerajaan yang ditubuhkan pada Mei 2018 dalam apa yang disebut sebagai Langkah Sheraton.
Inilah yang seringkali dilaungkan oleh sebilangan besar pemimpin dan ahli Pakatan Harapan iaitu parti PKR, parti DAP dan parti Amanah.
Namun, jika kita meneliti sebab musabab di sebalik Langkah Sheraton, maka kita akan memahami bahawa kumpulan yang di ketuai oleh YB Datuk Seri Azmin Ali meninggalkan PKR bersama kumpulan yang dipimpin oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mereka sebenarnya berasa dikhianati oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain seperti YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Mohammad Sabu dan YB Lim Guan Eng serta juga YAB Tun Mahathir Mohamad, yang telah melupakan asas perjuangan PH dan menyimpang jauh dari semangat reformasi yang dibawa oleh PH sehingga mampu memenangi Pilihanraya Umum ke 14.
Saya boleh bersetuju dengan fakta ini kerana saya sendiri bersama ramai rakan-rakan di luar sana berasa dikhianati oleh Pakatan Harapan. Ini kerana kami juga adalah penyokong kuat PH dan semangat reformasi sejak tahun 1998. Namun sejak memenangi kuasa pada PRU 14, pemimpin- pemimpin PH telah melupakan sebab kenapa mereka diletakkan di puncak kuasa. Mungkin mereka lalai dilambung ombak kuasa kerana dapat merasa nikmat menjadi Menteri dan diberi segala macam keistimewaan. Maka mereka lupa bagaimana mereka pernah bersama-sama dengan penyokong mereka tidur berlantaikan jalan raya semasa berada dalam perjuangan menentang Barisan Nasional.
Kami juga sebagai pemimpin akar umbi PKR dan PH pada masa itu, tidak mampu menjawab segala persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat bawahan, terutamanya mengenai janji-janji yang PH berikan kepada mereka semasa berkempen dalam PRU 14.
Contoh paling jelas adalah kegagalan Kerajaan PH pada masa itu untuk memenuhi janji-janji PRU 14 sehingga YAB Tun Dr Mahathir sendiri pernah berkata bahawa Manifesto Bukan Janji. Ini mengecewakan ramai pemimpin dan penyokong PH, terutamanya yang harus menghadapi rakyat dan menjawab segala macam persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat.
Saya juga menjadi saksi yang menyaksikan kemabukan kuasa sebilangan pemimpin PH pada masa itu terutamanya dalam ‘Pakatan Harapan Indian Council’ yang dianggotai oleh kesemua wakil rakyat PH serta pemimpin utama parti rakan strategik di mana saya sebagai wakil Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) selaku Timbalan Presidennya.
Pemimpin-pemimpin utama PH dalam Majlis ini hanya bertelingkah soal siapa mahu menjadi Pengerusi Majlis ini, yang dianggap secara automatik akan menjadi Pemimpin utama kaum India bagi PH, dan bukannya soal isu masyarakat India atau Janji Manifesto Khas Masyarakat India yang dilancarkan oleh PH semasa kempen PRU 14.
Akhirnya hampir kesemua janji ini tidak ditunaikan, yang menyebabkan masyarakat India berasa marah dan kecewa dengan Kerajaan PH ini. Dan kekecewaan mereka ditunjukkan kepada kami yang terpaksa berhadapan dengan mereka selaku pemimpin akar umbi PH.
Maka jelaslah bahawa Kumpulan Langkah Sheraton atau Kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah pengkhianat seperti yang digembar-gemburkan.
Pengkhianat sebenar adalah sebilangan besar pemimpin-pemimpin PH yang telah menyimpang jauh dari asas perjuangan sebenar.
Namun saya insaf bahawa isu di depan kita pada waktu ini adalah isu menghadapi Barisan Nasional secara satu lawan satu demi jika kita mahu peluang untuk memenangi Pilihanraya Umum ke 15.
Maka, walaupun kedua-dua pihak menuding jari kepada satu sama lain sebagai pengkhianat, namun kita harus sedar bahawa ini bukanlah masa sesuai untuk berbuat demikian.
Ini kerana matlamat dan aspirasi kedua-dua kumpulan adalah sama, iaitu mahu mengembalikan mandat rakyat yang diberi pada PRU ke 14, walaupun cara mereka mungkin berbeza.
Maka satu titik persamaan harus dicari segera demi kepentingan rakyat.
S. Gobi Krishnan
Ketua Penerangan Pusat Sayap Bersekutu BERSATU