BTS Media

Mengapa ambil kira kenderaan zaman kolonial British dalam statistik terkini JPJ?

Satu laporan baru-baru ini yang menyatakan bahawa jumlah kenderaan berdaftar di negara ini sebanyak 33 juta dianggap keterlaluan dan tidak memberi gambaran sebenar bilangan kenderaan semasa.

Ini kerana angka yang dilaporkan mengambil kira kenderaan berdaftar sejak zaman pentadbiran British.

Meragui ketepatan, bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai berkata, beliau pasti jumlah kenderaan di jalan raya negara ini tidak melebihi jumlah penduduk, lapor FMT.

“Tajuk (laporan media) sangat mengelirukan. Tidak mungkin jumlah kenderaan melebihi jumlah penduduk Malaysia,” katanya kepada FMT.

Tahun lepas, ketua pengarahnya Zailani Hashim menyatakan bahawa jabatan itu telah mentadbir 33.05 juta kenderaan dalam tempoh 75 tahun sejak ia diperbadankan pada 1 April 1946 sebagai Pendaftar dan Pemeriksa Kenderaan Bermotor (RIMV).

Liow menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai perkara itu.

“Mereka mesti meletakkan fakta dalam perspektif yang betul,” katanya sambil menambah, JPJ harus memberikan gambaran sebenar untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“JPJ boleh menggunakan rekod pembaharuan cukai jalan terkini untuk mengesahkan angka tersebut.”

Liow turut mencadangkan JPJ mengeluarkan “sijil kematian” bagi kenderaan yang tidak aktif

“Ini supaya kita dapat tahu dengan tepat jumlah kenderaan aktif di negara ini,” kata bekas presiden MCA itu.

Tidak seperti dibanyak negara maju, tiada polisi “akhir hayat” bagi kenderaan di Malaysia.

Sementara itu, bekas ketua pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Abd Ghafar Yusof berkata, menjadi kelaziman untuk statistik yang diwarisi sejak zaman sebelum Merdeka digunakan untuk menggambarkan jumlah kenderaan di seluruh negara.

“Amalan menggunakan angka besar, termasuk yang dikumpulkan sejak zaman British, diterapkan sehingga hari saya bersara. Saya tak faham kenapa ia masih digunakan hari ini,” katanya.

“Angka besar ini sering digunakan untuk menggambarkan representasi dan nisbah kematian di jalan raya berbanding jumlah kenderaan di negara ini.

“Sebagai contoh, ia akan menentukan bilangan ‘x’ kematian berbanding jumlah kenderaan yang didaftarkan pada masa tertentu atau sepanjang tahun.”

Ghafar berkata, kaedah sedemikian tidak memberikan gambaran yang tepat mengenai indeks keselamatan jalan raya negara.

“Saya sudah beberapa kali meminta Kementerian Pengangkutan untuk menggunakan pangkalan data pembaharuan cukai jalan terkini bersama jumlah kemalangan jalan raya dan kematian yang dilaporkan sebagai salah satu indeks keselamatan jalan raya di negara ini,” katanya.

“Malangnya, ia adalah percubaan yang sia-sia.”

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/12/mengapa-masuk-kenderaan-zaman-british-dalam-statistik-terkini-jpj/

Leave a Comment