BTS Media

Basikal lajak: Biar proses undang-undang berjalan, ambil iktibar tragedi

GAMBAR ATAS: Mindanews.com

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

Setelah dua kali dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja lelaki lima tahun lepas, seorang jurujual, Sam Ke Ting, 27, dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Rabu 13 April lalu.

Dia juga hilang kelayakan memandu untuk tempoh tiga tahun selepas habis menjalani hukuman penjara. Sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara sehingga enam bulan.

Mengimbau kejadian, media melaporkan lapan remaja lelaki berbasikal lajak maut dilanggar kereta pada pukul 3.20 pagi di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru pada 18 Februari 2017. Mangsa berusia antara 13 hingga 16 tahun.

Mahkamah Majistret membebas dan melepaskan Ke Ting pada 28 Oktober 2019. Pihak pendakwa membuat rayuan dan pada 18 Februari 2021 Mahkamah Tinggi mengarahkan Ke Ting membela diri.

Mahkamah Majistret sekali lagi membebas dan melepaskannya pada 10 Oktober 2021. Pihak pendakwaan sekali lagi mengemukakan rayuan, yang akhirnya membawa hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Permohonan Ke Ting agar pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara rayuan ke Mahkamah Rayuan ditolak oleh hakim, Datuk Abu Bakar Katar. Alasannya kerana masih belum mendapat kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan.

Peguam Muhammad Faizal Mokhtar, yang mewakili Ke Ting memfailkan kebenaran untuk merayu pada 14 April. Notis usul untuk kebenaran merayu atau penangguhan hukuman serta perakuan segera (certificate of urgency) difailkan melalui e-filing. Difahamkan rayuan ini akan didengar pada pagi Isnin 18 April di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Mahkamah Rayuan adalah peluang terakhir untuk mengemukakan rayuan dalam kes ini kerana setiap kes yang bermula dari Mahkamah Majistret atau Mahkamah Sesyen akan berakhir di Mahkamah Rayuan. Keputusan mahkamah itu adalah muktamad.

Hukuman yang dijatuhi ke atas Ke Ting dan penolakan permintaan agar pelaksanaan hukuman ditangguhkan, menimbulkan debat di media sosial dengan pelbagai pandangan pro dan kontra. Masing-masing ada alasan dan tafsiran tersendiri.

Namun rayuan adalah proses yang betul untuk dilakukan. Biar saluran undang-undang jadi penyelesai dan mahkamah membuat keputusan. Tidak perlulah, seperti dalam kes ini, ada unsur yang dilihat sebagai cuba mempengaruhi, misalnya dengan menandatangani petisyen mendesak pesalah dibebaskan. Hormati institusi kehakiman.

Namun, keputusan Mahkamah Tinggi dan apa jua keputusan Mahkamah Rayuan selepas ini, serta tanpa menyentuh keputusan mahkamah, pada sisi lain isu basikal lajak ini wajar dilihat dalam perspektif lebih luas. Yang paling penting ialah mengambil iktibar peristiwa yang berlaku.

Sementara keluarga remaja yang terkorban mungkin merasai tragedi yang menimpa anak mereka sudah terbela, tidakkah tercetus di dalam hati bahawa mereka juga secara tidak langsung menyumbang kepada kejadian berkenaan?

Banyak pihak bersimpati dengan kesedihan yang mereka tanggung kehilangan orang tersayang. Bukan pula maksud tulisan ini untuk mencuit luka hingga kembali berdarah. Namun adakah ibu bapa remaja ini telah mengambil langkah sewajarnya mengawal dan melindungi anak mereka?

Malah terdapat desakan agar ibu bapa ini turut dihukum kerana kecuaian dan mesti turut bertanggung jawab di atas apa yang berlaku.

Terdapat desakan agar ibu bapa ini turut dihukum kerana kecuaian dan mesti turut bertanggung jawab di atas apa yang berlaku.

Namun bukan tugas kita membuat penentuan sedemikian. Terserah kepada pihak berwajib.

Benar, ajal dan maut ketentuan Allah. Tetapi ketentuan Allah juga selalunya dengan sebab musabab. Apakah harus ibu bapa membenarkan anak remaja belasan tahun, dan tentunya masih bersekolah, keluar beramai-ramai pada pukul tiga pagi dengan memecut basikal yang diubah suai menjadi basikal lajak?

Nama sahaja sudah menggambarkan basikal lajak tentu untuk ditunggang laju sehingga ‘terlajak-lajak’ dalam aksi merempit. Berbasikal pula di jalan raya utama tempat kereta lalu lalang. Pukul tiga pagi bukan bermakna tidak ada langsung kenderaan melalui jalan berkenaan. Lagi pun jalan raya bukan tempat berlumba. Kemalangan tidak berbau.

Pukul tiga pagi bukan waktu remaja sekolah berada di jalan raya, tetapi sudah lena apatah lagi jika esok hari bersekolah. Inilah yang sewajarnya dilakukan oleh ibu bapa, memastikan anak tidak berada di luar rumah pada waktu tidak sepatutnya.

Apabila melihat anak-anak terlibat dengan aktiviti basikal lajak, tegah mereka. Dari awal jangan dibenarkan mereka mengubah suai basikal untuk tujuan merempit. Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, pernah menegaskan basikal lajak adalah haram.

Apa yang berlaku tidak dapat diputar kembali untuk tidak berlaku. Yang penting ialah menjadikannya sebagai pengajaran serta pedoman kepada semua ibu bapa untuk sentiasa berwaspada dalam aspek menjaga dan mengawal anak.

Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semua memahami sedih pilu dialami keluarga yang anak-anak mereka pergi buat selama-lamanya dalam insiden 18 Februari 2017 itu. Sudah pasti ibu bapa sayangkan anak, cuma malangnya ada kala terleka memastikan keselamatan mereka.

Kepada keluarga terlibat, semoga redha dengan ketentuan Allah. Walau pun sudah lima tahun berlalu, pasti ingatan tidak akan terpadam. Maklum anak belahan hati sudah tiada di sisi.

Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16 tahun.

-BTS Media

Leave a Comment