BTS Media

Ramai bengang kerana perlu menjalani ujian RTK-Antigen di KLIA

GAMBAR ATAS: Kredit: Sara Izrar Aziz/wikimedia Commons

 

Oleh Zainal AS Rashid

Pengembara yang tiba di Malaysia dilaporkan marah kerana perlu membayar mahal untuk ujian wajib RTK-Antigen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebelum berlepas dari negara asal pun mereka telah melakukan ujian PCR.

Mereka juga mempersoalkan keperluan untuk ujian semasa ketibaan, walhal Singapura, Indonesia dan Filipina telah menghentikannya atau telah mengumumkan bahawa mereka akan menghentikannya tidak lama lagi.

Terdapat beberapa jenis ujian Covid-19 semasa ketibaan di KLIA dan KLIA2, iaitu ujian RTK-Antigen (hidung) profesional berharga RM100 untuk rakyat Malaysia dan RM160 untuk warga asing.

Harga biasa di klinik adalah sekitar RM60 hingga RM70. Ia mengambil masa antara 15 dan 30 minit untuk keputusan ujian diperoleh. Bagi ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), rakyat Malaysia dikenakan bayaran RM250, manakala pelancong antarabangsa membayar RM350. Ia biasanya berharga antara RM180 dan RM250.

Bagi warga Malaysia yang pulang ke negara pula persoalannya kenapa perlu membayar untuk ujian tersebut?

Ia juga membebankan pelajar Malaysia yang bukan tajaan sendiri, berbanding yang daripada keluarga berkemampuan.

Bagi ujian RT-PCR pantas, harganya pula RM370 untuk rakyat Malaysia, manakala warga asing dikenakan caj RM470. Harga biasa sebenarnya kurang daripada RM350.

Menurut akhbar The Star, syarikat BP Healthcare adalah satu-satunya entiti mengendalikan perkhidmatan saringan Covid-19 RT-PCR, yang diwajibkan ke atas semua pengembara yang tiba di KLIA dan KLIA2.

Bagaimana pun, Malaysian Airport Holdings Bhd (MAHB) menafikan dakwaan bahawa ujian RTK di lapangan terbang antarabangsa dimonopoli oleh sebuah syarikat.

Akhbar tersebut memetik seorang pegawai kanan berkata terdapat empat pengendali perkhidmatan kesihatan berbeza di empat lapangan terbang antarabangsa – KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Mulai 1 April lalu, mereka yang tiba di Malaysia dan telah divaksin sepenuhnya dikehendaki menjalani ujian PCR dua hari sebelum berlepas dan juga perlu menjalani ujian RTK-Antigen profesional dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Kemboja dilapor telah menghapuskan sepenuhnya keperluan ujian, manakala di Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura dan Filipina pengembara perlu menjalani satu ujian Covid-19 (sama ada sebelum berlepas atau semasa ketibaan).

Bagaimana pun, di Malaysia, walaupun keperluan ujian PCR sebelum berlepas kekal, pengembara masih perlu menjalani ujian RTK-Antigen dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Ketua Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat yang ditemui oleh The Star pula berkata protokol tersebut memberikan lebih fleksibiliti dan memudahkan proses perjalanan.

Beliau berkata memandangkan pandemik terus menular, proses dan peraturan perjalanan seperti bilangan dan jenis ujian juga boleh disemak secara berkala untuk memastikan sama ada masih relevan, tanpa membebankan pengembara.

Bagi beliau memandangkan ujian Covid-19 semakin penting bagi pengembara, faktor kemampuan ujian mandatori itu juga boleh menjejaskan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Menurut beliau lagi, harga ujian PCR dan RTK lebih murah akan mengurangkan kos untuk pengembara dan menyokong pemulihan industri pelancongan dan penerbangan secara lebih berkesan, tanpa menjejaskan kesihatan awam.

Dalam pada itu, Riad juga berpendapat dengan membenarkan lebih banyak penyedia perkhidmatan kesihatan menawarkan perkhidmatan ujian di lapangan terbang akan membantu menggalakkan persaingan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan ujian yang tersedia.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group berkata mereka hanya mengikut arahan kerajaan, namun menghargai campur tangan bagi memudahkan SOP supaya pengembara dapat memasuki Malaysia dengan selamat.

-BTS Media

Leave a Comment