BTS Media

Kenaikan gaji penjawat awam baik, tapi jangan jejas ekonomi

KENAIKAN gaji penjawat awam adalah baik, tetapi usaha wajar perlu dilakukan bagi mengelakkan isu ekonomi di negara ini, kata pakar.

Mereka berkata, sumber untuk kenaikan itu tidak sepatutnya diperoleh daripada pinjaman, dilaksanakan berpandu kes demi kes, dan bukannya kenaikan gaji menyeluruh.

Ia juga perlu membawa kepada produktiviti lebih tinggi di pihak penjawat awam itu sendiri.

Pakar ekonomi Dr Geoffrey Williams, lebih penting kenaikan gaji sebanyak 15% itu akan melonjakkan semangat dan integriti penjawat awam, lapor The Star.

Menurut beliau, penjawat awam bukan hanya birokrat di Putrajaya, mereka juga guru, jururawat, kakitangan hospital, polis, bomba dan anggota barisan hadapan lain yang diharapkan rakyat bagi menjalankan tugas dengan baik.

“Secara umum, gaji mereka didapati rendah sejak beberapa dekad dan tidak setanding dengan pekerja gaji sektor swasta, malah ada yang berpendapatan di bawah gaji minimum dan hidup di bawah paras kemiskinan.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa perlu ada keseimbangan antara tambahan RM10 bilion yang diperlukan untuk gaji lebih tinggi dan pertumbuhan ekonomi agar ekonomi negara tidak terjejas.

“Kerajaan perlu mengambil langkah ketat untuk mengimbangi kos kenaikan gaji berbanding jangkaan pertumbuhan ekonomi tambahan pada 2025.

“Tambahan RM10 bilion adalah lebih kurang 2.5% daripada perbelanjaan kerajaan dan perlu dibiayai daripada sumber selain daripada pinjaman, supaya ia mampan,” katanya.

Pakar ekonomi Dr Carmelo Ferlito juga berkata kerajaan harus telus mengenai pembiayaan untuk kenaikan gaji.

“Jika perbelanjaan tambahan dibiayai dengan defisit, ia akan mencetuskan inflasi, justeru menjadikan kenaikan gaji sebagai ilusi kewangan,” katanya.

Beliau berpendapat kenaikan gaji penjawat awam perlu dilaksanakan mengikut kes demi kes bagi memastikan keadilan.

“Tidak semua pekerja akan meningkatkan prestasi atau produktiviti mereka, dan ini boleh menyebabkan sesetengah pekerja menjadi leka.

“Kenaikan gaji sepatutnya dihasilkan melalui rundingan antara pekerja dengan majikan supaya lebih mencerminkan prestasi pihak majikan dan keadaan pasaran semasa.

“Ganjaran harus mencerminkan bukan sahaja peningkatan produktiviti tetapi juga isyarat pasaran, dan bukannya keputusan politik,” kata Dr Ferlito, yang merupakan ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME).

-BTS Media

Leave a Comment