BTS Media

Malaysia masih ‘demokrasi tempang’, lemah kerana kekang kebebasan awam

Oleh Yusoff A. Shariff

MALAYSIA masih dianggap sebagai “demokrasi tempang” menurut Indeks Demokrasi 2023 Economist Intelligence Unit (EIU) yang dikeluarkan hari ini, dengan hanya mendapat skor 7.29 dari 10, sedikit menurun dari skor tahun lalu sebanyak 7.30.

Menurut lima ukuran dalam indeks tersebut – proses pemilihan umum dan pluralisme, fungsi pemerintahan, penyertaan politik, budaya politik, dan kebebasan awam – Malaysia mendapat skor terburuk dalam kebebasan awam pada 5.88, dan terbaik dalam proses pemilihan umum dan pluralisme dengan skor 9.58.

“Asia ialah kawasan paling dinamik di dunia daripada segi pertumbuhan ekonomi, tetapi ia terus keciciran dari segi demokrasi.

“Lebih separuh negara yang dikaji oleh indeks tersebut mengalami kemerosotan pada tahun 2023, dengan pencatatan penurunan dalam skor demokrasi masing-masing,” kata editor laporan Joan Hoey dalam siaran akhbar yang disertakan oleh bahagian penyelidikan dan analisis majalah kewangan berpusat di London, The Economist.

Walaupun kekal tidak berubah dalam ranking global di tempat ke-40, dan tempat ke-6 di rantau Asia dan Australasia, Malaysia mencapai prestasi terbaik di Asia Tenggara.

Daripada 165 negara merdeka dan dua wilayah, indeks tersebut menyenaraikan jumlah keseluruhan 50 negara dalam kategori demokrasi tempang, dan hanya 24 demokrasi penuh, termasuk Greece, yang telah kembali ke dalam kategori demokrasi penuh.

Israel, Botswana, dan Itali juga tergolong dalam senarai demokrasi tempang, tetapi Malaysia masih menduduki ranking yang lebih rendah daripada mereka.

Terdapat 34 dan 59 buah negara yang disenaraikan sebagai rejim hibrid dan autoritarian secara berturut-turut.

EIU memberikan status “demokrasi penuh” kepada negara yang mendapat markah 8 ke atas, manakala yang di antara 7.99 hingga 5.99 sebagai “demokrasi tempang”.

Negara-negara yang mendapat markah di antara 5.99 hingga 3.96 adalah yang dikenali sebagai “rejim hibrid”, iaitu kerajaan yang hampir autoritarian.

“Apabila melihat Asia dan Australasia mengikut sub rantau, kita dapat melihat perbezaan besar dalam kualiti tadbir urus, kebebasan demokratik dan kemantapan sosial.

“Asia Selatan dan Asia Tenggara yang mempunyai markah terendah dalam kalangan semua sub-rantau benua, kemunduran di Bangladesh, Kemboja, Pakistan, Sri Lanka dan Thailand bermakna kedua-dua rantau tersebut semakin terpinggir,” kata unit itu dalam laporan tersebut.

Dari segi proses pilihan raya dan pluralisme, Malaysia berjaya melebihi negara jirannya – Indonesia dan Singapura – dan mengatasi bekas negara penjajahnya, Jepun, yang dianggap oleh indeks itu demokrasi penuh.

Bagaimanapun, negara lain di rantau ini – Papua New Guinea, Timor-Leste, Filipina dan Singapura telah mengatasi Malaysia dari segi kebebasan awam.

“Faktor lain kemunduran rantau Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ialah penurunan tahap kebebasan awam.

“Beberapa kerajaan memberikan alasan kononnya bimbang tentang keselamatan negara dan perpaduan sosial di sebalik tindakan menghadkan kebebasan bersuara dan media,” kata unit itu dalam kenyataan akhbarnya.

Di rantau Asia dan Australasia, 15 buah negara, iaitu lebih daripada separuh kawasan tersebut, mengalami penurunan dalam skor mereka dan hanya lapan buah negara yang mengalami peningkatan.

Walau bagaimanapun, indeks global dalam demokrasi juga tidak kelihatan baik. Pada tahun 2023, skor merosot kepada 5.23, dari 5.29 pada tahun 2022, justeru menandakan tahap terendah baharu sejak indeks EIU pertama kali diterbitkan pada tahun 2006.

Secara global, hanya 32 buah negara yang meningkatkan skor indeks mereka pada tahun 2023 walaupun dengan margin yang sangat kecil dan sering kali daripada tahap yang rendah, dan 68 buah negara mencatatkan penurunan dalam skor mereka.

“Skor untuk 67 negara juga kekal, lantaran menggambarkan keadaan global yang kaku dari segi kemerosotan dan regresi,” kata unit itu dalam laporan mereka.

Pada tahun 2022, Malaysia memilih reformis Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, namun banyak undang-undang yang membatasi kebebasan awam masih berkuat kuasa.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia telah mendesak kerajaan Malaysia supaya segera melaksanakan reformasi yang dijanjikan semasa pilihan raya, termasuk pembatalan undang-undang tertentu, ketelusan dalam proses kerajaan, dan lain-lain aspek.

Di peringkat antarabangsa, banyak negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencadangkan agar Malaysia meminda atau memansuhkan undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara, ekspresi dan perhimpunan, semasa Ulasan Berkala Universal (UPR) bulan lalu.

-BTS Media

Leave a Comment