BTS Media

Demensia: Kerajaan digesa tumpu kepada sokongan perubatan, pastikan pakar mencukupi

Oleh Yusoff A. Shariff

KERAJAAN perlu meningkatkan tumpuan kepada sokongan perubatan untuk penyakit demensia, termasuk tahap pendidikan kesihatan dalam kalangan orang ramai.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata tahap kesedaran terhadap keadaan perubatan masih sangat rendah, terutamanya dalam hal penjagaan oleh ahli keluarga.

Menurut beliau, terdapat pesakit yang terabai kerana bukan mudah untuk menjaga mereka, lapor portal Getaran.

Beliau mengulas susulan pendedahan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Ahad bahawa bapa mentuanya, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, menghidap penyakit itu.

Beliau berkata walaupun keluarganya mampu untuk mendapatkan sokongan perubatan profesional yang diperlukan, keadaan mungkin tidak sama bagi kebanyakan keluarga di Malaysia yang mempunyai anggota keluarga menghidap penyakit itu.

Khairy menyentuh tentang keperluan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk pesakit sedemikian dan menyatakan bahawa kertas putih kesihatan yang sedang disiapkan akan merangkumi cadangan untuk menambah baik penjagaan pesakit di rumah mereka sendiri.

Sehubungan itu, Dr Zainal menyarankan agar kerajaan turut menawarkan perkhidmatan bantuan kepada ahli keluarga dalam menguruskan pesakit sedemikian.

“Pihak berkenaan mesti menubuhkan pusat jagaan demensia untuk golongan kurang berkemampuan. Ada pesakit yang tidak mendapat rawatan terbaik kerana kekangan kewangan,” katanya.

Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh Pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata terdapat keperluan mendesak untuk melatih lebih ramai pakar perubatan dalaman dan bidang berkaitan.

Ini terutamanya memandangkan kekurangan pakar dalam sistem penjagaan kesihatan awam, kerana ramai memilih untuk menyertai sektor swasta yang dianggap lebih menguntungkan.

Satu kajian pada 2018 mendapati terdapat 15,000 hingga 20,000 pesakit Parkinson’s di Malaysia dan bilangan ini akan terus meningkat, memandangkan lebih ramai rakyat Malaysia dijangka menjadi warga emas menjelang 2030. Jabatan Perangkaan mengunjurkan jumlah kes meningkat lima kali ganda menjelang 2040.

Dengan Malaysia menjadi negara yang semakin tua, lebih ramai akan mengalami pelbagai peringkat gangguan kognitif, kurang daya hilang ingatan dan isu koordinasi badan.

“Ini akan mengurangkan keupayaan pesakit untuk bekerja dan bergerak. Malangnya, bilangan pakar dalam bidang geriatrik dan pemulihan terlalu kecil, justeru, menyebabkan ramai mengalami kepayahan untuk menerima rawatan awal dan diagnosis yang tepat.”

-BTS Media

Leave a Comment