PENGGUNA jalan raya akan diberikan diskaun tol sebanyak 50% selama dua hari pada 23 dan 24 Disember sempena sambutan Krismas pada 25 Disember.
Pelaksanaan diskaun yang dijangka bernilai sekitar RM20.65 juta itu akan ditanggung kerajaan sebagai pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya terlibat.
Diskaun itu terpakai khusus kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, kecuali di plaza tol sempadan iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Menurut Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi pemilihan tarikh tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk mengagihkan aliran trafik sepanjang tempoh perayaan dan cuti sekolah, khususnya pada hari perjalanan puncak ketika orang ramai pulang ke kampung halaman atau kembali ke bandar.
Pada masa sama, katanya, ia adalah bertujuan mengoptimumkan operasi lebuh raya termasuk penggunaan kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah lebuh raya secara lebih berkesan.
Kementerian Kerja Raya berharap pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan dengan teliti dan memanfaatkan aplikasi navigasi TuJu oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta aplikasi MyPLUS-TTA bagi memastikan perjalanan yang lancar dan selesa.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya mematuhi jadual nasihat masa perjalanan (TTA), mengutamakan keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda trafik dan semua peraturan di lebuh raya.
Maklumat status trafik dan sebarang kejadian akan dikemas kini secara berkala menerusi saluran media sosial rasmi LLM iaitu Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, X @LLMtrafik dan TikTok @llmtrafik. Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan bantuan atau maklumat trafik terkini.
-BTSMedia.my



