BTS Media

Amaran bekas gabenor Bank Negara: Masa depan graduan Malaysia membimbangkan

BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata kadar gaji sebenar rakyat Malaysia telah merosot hampir tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun.

Beliau mengambil contoh gaji permulaan graduan universiti pada masa kini yang hanya sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, berbanding nilai gaji permulaan pada tahun 1984 sebanyak RM1,300 sebulan.

Beliau berpendapat, dengan mengambil kira kadar inflasi tahunan sebanyak lima peratus, gaji setaraf untuk graduan universiti sekarang sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan, yang bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an.

Muhammad menegaskan bahawa realitinya, gaji rakyat Malaysia sudah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda.

Beliau memberi amaran bahawa jika sistem pendidikan dan struktur ekonomi negara tidak dirombak, anak-anak Malaysia berkemungkinan terpaksa bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah.

Menurut Muhammad lagi, Malaysia sebenarnya sudah lama terperangkap dalam kepompong  pendapatan sederhana, dan isu gaji rendah ini bukan satu perkara terpencil, tetapi berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait, termasuk kebergantungan kepada pekerja asing, kegagalan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi dan berkualiti, serta kelemahan sistem pendidikan.

Beliau berkata majoriti pekerja asing di Malaysia bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya, sukar) dan sehingga 31 Disember 2024, 14 peratus daripada 16.78 juta tenaga kerja negara adalah pekerja asing.

Keadaan ini memberi saingan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) kerana gaji mereka tidak meningkat, lapor Sinar Harian.

Selain itu, Malaysia belum dapat mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi disebabkan ekonomi yang kurang cekap dan tidak berskala besar, justeru menyebabkan negara gagal mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk graduan.

Beliau berkata, sistem pendidikan dan latihan kemahiran juga ketinggalan zaman dan tidak lagi memenuhi keperluan pasaran abad ke-21, sekaligus menjejaskan produktiviti dan daya saing negara.

Bagi Muhammad, semua ini mencerminkan sikap kerajaan yang masih teragak-agak dan terlalu berhati-hati untuk melakukan reformasi menyeluruh.

Beliau menyarankan agar Malaysia menghentikan kebergantungan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberi tumpuan kepada struktur pekerjaan untuk memajukan ekonomi.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata kebanyakan pekerjaan baharu di Malaysia adalah pekerjaan berkemahiran rendah yang menarik kemasukan pekerja asing kerana kadar gaji di Malaysia lebih tinggi berbanding negara asal mereka.

Malaysia mengalami aliran keluar bakat, terutamanya dalam bidang kejururawatan, ke negara seperti Singapura, Timur Tengah, Australia dan New Zealand yang menawarkan gaji jauh lebih tinggi. Beliau turut menyentuh tentang ramai rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura untuk melakukan kerja manual kerana gaji lebih lumayan.

Sehubungan itu, Muhammad menegaskan bahawa Malaysia berisiko bertukar daripada ‘pengeksport bakat’ kepada ‘pengeksport tenaga buruh’ jika terus gagal mengubah struktur ekonominya dan tidak mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi.

Beliau juga tidak akan terkejut jika suatu hari nanti anak-anak Malaysia terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah di negara jiran.

Mengenai cadangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk mengubah klasifikasi kumpulan pendapatan, Muhammad mempersoalkan sama ada ia benar-benar mencerminkan realiti ekonomi rakyat Malaysia, kerana golongan B40 kini mungkin sudah mencecah sehingga 60 peratus rakyat mengikut sistem klasifikasi lama.

Beliau juga berkata gaji rakyat yang hampir tidak menunjukkan sebarang peningkatan selepas Covid-19, menyebabkan ramai dalam golongan B40 hidup dalam kesempitan kewangan.

Beliau membandingkan keadaan pada tahun 1960-an di mana beliau mampu membeli kereta selepas enam bulan bekerja, beli rumah selepas tiga tahun, dan mempersoalkan sama ada generasi muda hari ini akan hidup lebih baik.

Muhammad berpendapat bahawa kerajaan dan rakyat masih belum rasa terdesak untuk bersaing dan melakukan pembaharuan. Ini menjadi punca Malaysia kekal terperangkap dalam pendapatan sederhana.

Seterusnya, Muhammad berkata Malaysia tidak hanya membandingkan diri dengan negara ASEAN atau negara ekonomi lemah, tetapi sebaliknya menggunakan penanda aras ekonomi berprestasi tinggi dan memberi tumpuan kepada struktur pekerjaan dan jenis industri yang diwujudkan, bukannya hanya kepada pertumbuhan KDNK.

-BTS Media

Leave a Comment