BTS Media

Laporan dibuat berhubung video tular lelaki bantai anjing dengan tukul

LAPORAN berhubung satu dakwaan kejadian keganasan terhadap haiwan di Ipoh telah dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berikutan video yang tular di media sosial.

Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (ISPCA) Ipoh Ricky Soong berkata kejadian itu berlaku pada hari Sabtu (19 Jan) malam.

“Saya menerima panggilan mengenai perkara itu kira-kira pukul 9.30 malam daripada jiran, dan dimaklumkan bahawa polis telah pergi ke lokasi untuk memberi amaran kepada suspek,” kata Soong, lapor The Star.

Menurutnya, lelaki itu kemudian membawa anjing itu ke dalam rumah, dan jiran mendakwa selepas itu mereka tidak lagi dapat mendengar salakan anjing itu.

Soong berkata, jiran itu juga mendakwa lelaki itu membawa tukul dan pisau.

“Saya telah membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), dan berharap mereka mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Apabila dihubungi, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata beliau akan menyemak perkara itu.

Bersama post yang tular itu dilampirkan satu video yang menunjukkan seorang lelaki membantai seekor anjing dengan apa yang kelihatan seperti tukul besi.

Anjing itu kelihatan diikat pada pintu pagar depan sebuah rumah di Taman Ria.

Video yang dimuat naik ke laman Facebook Malaysian Dogs Deserve Better itu memperincikan kejadian di kawasan kejiranan tersebut.

Post tersebut mendakwa bahawa suspek tinggal berhadapan rumah pengadu dan cuba membunuh anjingnya.

-BTS Media

Leave a Comment