BTS Media

Apa punca dentuman kuat di Ipoh? PAS Perak tuntut penjelasan kerajaan

Oleh Yusoff A. Shariff

KERAJAAN sepatutnya mengeluarkan penjelasan rasmi tentang punca letupan misteri yang berlaku di Ipoh, kata PAS Perak.

Pesuruhjayanya Razman Zakaria berkata pihaknya bersama masyarakat Ipoh ingin mengetahui punca letupan itu.

Beliau berkata, letupan misteri seperti itu pernah berlaku sebelum ini tetapi masih belum dijelaskan oleh pihak berkuasa.

“Letupan seperti ini pernah berlaku pada tahun2012, 2018, dan yang terbaharu berlaku pada hari Isnin (21 Okt).

“Apa yang amat mengejutkan ialah semua letupan ini berlaku sekitar pukul 11 pagi.

“Nampaknya ia berlaku setiap enam tahun, dan jika ini berlaku, misteri itu adalah sesuatu yang besar dan memerlukan kenyataan rasmi daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari Rabu (23 Okt).

Pada hari Isnin bunyi dentuman kuat kedengaran di seluruh Ipoh, dengan beberapa bangunan turut bergegar akibat kejadian itu.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris berkata, pelbagai agensi dirujuk, tetapi tiada penjelasan tentang punca dentuman itu diperoleh.

Tambah Razman, beberapa agensi kerajaan menafikan mereka ada kaitan dengan letupan misteri itu.

Beliau berkata terbaharu, Tentera Udara Diraja Malaysia juga menafikan kemungkinan berlaku kesan supersonik oleh pesawat mereka.

“Jadi, penafian pihak berkuasa berkenaan tidak membawa apa-apa makna, sehingga dan melainkan ada kenyataan rasmi daripada kerajaan.

“Kenyataan rasmi penting untuk rujukan dan akauntabiliti terhadap sebarang tindakan yang akan berlaku.

“Jadi, PAS Perak bertegas supaya siasatan menyeluruh dijalankan, dan kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri atau pusat perlu dibuat,” katanya.

Razman berkata ini perkara yang wajar dilakukan bagi menjawab persoalan mengenai kejadian berulang kali itu dan masih menjadi misteri yang membimbangkan rakyat Perak, khususnya yang tinggal di Ipoh.

-BTS Media

Leave a Comment