BTS Media

Puluhan puting beliung landa AS tengah, sekurang-kurangnya lima maut

BERPULUH ribut puting beliung telah memusnahkan beberapa bahagian Oklahoma dan wilayah Great Plains yang terletak berdekatan, menyebabkan sekurang-kurangnya lima maut, kata pihak berkuasa dan media tempatan semalam.

Sselepas 78 puting beliung berlaku pada hari Jumaat, kebanyakannya di Nebraska dan Iowa, berlaku lagi 35 fenomena berasingan pada hari Sabtu dari utara Texas dan Oklahoma ke Missouri, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Ribut itu membawa hujan sehingga 18 sentimeter di beberapa tempat dalam masa beberapa jam, dan ahli meteorologi memberi amaran tentang bahaya berterusan cuaca ekstrem semalam, termasuk banjir kilat, hujan batu dan ancaman akan berlaku lebih banyak lagi puting beliung.

Bandar Sulphur, di selatan-tengah Oklahoma, dilanda teruk pada lewat hari Sabtu, dengan video dan imej disiarkan di media sosial menunjukkan banyak bangunan musnah.

Sebuah trak pos kelihatan tersangkut di atas sebuah bangunan, manakala satu video menunjukkan taburan batu blok dan alang kayu berselerak di merata tempat.

Pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan kenderaan untuk mencari mangsa yang terselamat.

Gabenor Oklahoma Kevin Stitt, semalam berkata empat orang disahkan maut di seluruh negeri.

Beliau memberitahu media bahawa kerosakan di Sulphur, di mana seorang wanita maut apabila puting beliung melanda pada waktu malam, adalah yang paling teruk sejak enam tahun beliau memegang jawatan itu.

“Nampaknya setiap premis perniagaan di pusat bandar telah musnah,” katanya, sambil menambah “mujur tidak ramai orang di sini pada pukul 10:30 malam.”

Sekurang-kurangnya dua orang maut di bandar Holdenville, Oklahoma, kata Jabatan Pengurusan Kecemasan (OEM) negeri, manakala media tempatan melaporkan seorang bayi berusia empat bulan antara mangsa.

OEM berkata, individu keempat maut di lebuh raya di Marietta, di mana video yang disiarkan media tempatan menunjukkan beberapa kereta rosak tersadai di sepanjang jalan, dua trak terbalik dan sebuah gudang berhampiran terbelah dua.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS berkata siasatan awal mengesahkan puting beliung di Sulphur dan Marietta yang membawa kekuatan sekurang-kurangnya EF-3 pada Skala Fujita lima tahap, bermakna tiupan melebihi kelajuan218 kilometer sejam.

Stitt mengisytiharkan darurat selama 30 hari untuk mempercepatkan usaha bantuan kepada 12 daerah yang paling teruk terjejas, dan berkata beliau telah menghubungi pihak berkuasa persekutuan untuk mendapatkan bantuan tambahan.

Menurut TV tempatan KETV NewsWatch 7, seorang lelaki di Iowa yang cedera dalam puting beliung pada hari Jumaat telah meninggal dunia di hospital.

Lebih 25,000 rumah di Texas dan lebih 19,000 di Oklahoma terputus bekalan elektrik setakat petang semalam, lapor laman web poweroutage.us.

Wilayah tersebut sering dilanda puting beliung pada setiap musim bunga. Tetapi, apa yang dialami dalam kejadian terbaharu itu sangat luar biasa, kata ahli meteorologi.

-BTS Media

Leave a Comment