BTS Media

Pelanggan restoran di India muntah darah lepas disajikan ais kering sebagai pencuci mulut

PENGURUS sebuah restoran di bandar raya Gurugram utara India ditangkap selepas restoran tersebut didakwa menyajikan beberapa pelanggan dengan ais kering yang dicampurkan dalam pewangi mulut berasaskan gula dan rempah.

Dalam video kejadian itu, kelima-lima pelanggan kelihatan muntah dan meludah darah. Klip tersebut telah menjadi viral di media sosial.

Kesemua mereka telah dimasukkan ke hospital selepas kejadian pada hari Sabtu (2 Mac), menurut BBC. Berita NDTV melaporkan bahawa dua daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Pencuci mulut tradisional itu biasanya disajikan selepas makan di beberapa restoran di India.

Menurut polis India campuran yang diberikan kepada pelanggan itu mengandungi ais kering, dalam bentuk pepejal karbon dioksida yang biasa digunakan untuk penyejukan sementara.

Pelanggan terbabit merupakan sebahagian daripada kumpulan enam orang yang makan di Laforestta Cafe, kata polis. Mereka terdiri daripada Ankit Kumar, seorang penduduk bandar Noida, isterinya dan empat rakan mereka.

Kumar, yang tidak menggunakan pencuci mulut itu, membuat laporan polis.

Rakan-rakannya mengalami sensasi terbakar dalam mulut yang kemudian mengeluarkan darah. Mereka juga muntah, lapor akhbar Hindustan Times.

Dalam video yang ditularkan, seorang wanita menangis sementara yang lain meneguk air atau meletakkan ais di mulut, mungkin untuk melegakan rasa terbakar.

Kumar berkata kakitangan restoran melarikan diri tanpa membantu isterinya dan rakan-rakannya.

“Saya menunjukkan bungkusan penyegar mulut kepada seorang doktor, yang mengatakan bahawa ia adalahah ais kering. Menurut doktor itu, bahan tersebut merupakan sejenis asid yang boleh menyebabkan kematian,” kata Kumar.

Semalam (5 Mac), polis menahan pengurus restoran dan mendakwanya dengan tuduhan meracuni “dengan niat untuk menyebabkan kecederaan atau bahaya”, lapor BBC.

Siasatan sedang dijalankan untuk mencari pemilik restoran tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment