Oleh Yusoff A. Shariff
SAMA ada suka atau tak suka, durian adalah sebahagian besar daripada kehidupan kita di Malaysia.
Ia sinonim dengan budaya masyarakat, dan menikmati durian merupakan antara kemestian apabila membawa pelancong dari luar di negara ini.
Tetapi, sejak sekian lama masih tegar tanggapan bahawa durian boleh memudaratkan kesihatan.
Di sini kita dedahkan kebenarannya!
Adakah Durian Tinggi Kolesterol?
Tidak benar sama sekali. Durian tidak akan menyebabkan paras kolesterol meningkat. Malah, beberapa kajian mendapati bahawa durian sebenarnya boleh membantu melawan kolesterol.
Durian mengandungi asid lemak mono tak tepu (Monounsaturated fats atau MUFA) yang menyihatkan jantung dan mampu membantu menurunkan paras kolesterol tidak baik (LDL) dalam tubuh. Dengan pendedahan ini, maka anda boleh menikmati durian tanpa risau tentang tahap kolesterol.
Apakah manfaat lain durian?
Selain baik untuk tahap kolesterol, durian juga mempunyai banyak manfaat kesihatan lain.
Kajian yang dijalankan pada 2019 mendapati durian dari Malaysia, Thailand, dan Indonesia mempunyai pelbagai kesan positif. Antara kelebihannya, membantu menurunkan paras gula dalam darah, menghalang penebalan arteri, dan manfaat probiotik.
Terdapat juga beberapa bukti yang menunjukkan bahawa durian boleh melambatkan pertumbuhan sel kanser. Walau bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami sepenuhnya potensi manfaat ini.
Durian kaya dengan vitamin dan mineral, justeru menjadikannya pilihan yang berkhasiat.
Membongkar mitos lain tentang durian
Mitos: Makan Durian dan Minum Bir Boleh Membawa Maut
Ini khusus bagi yang bukan Islam. Sebenarnya, tiada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan tersebut, kerana jika ada pun mudarat, ia sekadar menyebabkan kembung perut dan senak, tetapi tidaklah hingga membawa maut. Dalam keadaan ini, juga organ hati perlu bekerja lebih keras untuk memproses lemak dan gula.
Mitos: Durian ialah Buah “Panas”.
Tanggapan kononnya durian itu ‘panas’ adalah tidak berasas. Dalam istilah perubatan sebenarnya tidak ada istilah makanan ‘panas’. Ini hanyalah mitos, dan kesan memakan durian bagi setiap orang mungkin berbeza.
Isu Gula dalam Durian.
Walaupun durian mempunyai banyak manfaat kesihatan, ia juga tinggi kandungan gula dan karbohidrat. Jika anda bimbang tentang dua faktor ini, eloklah berpada-pada apabila memakan durian.
Kesimpulan
Kesimpulannya, dari segi kesihatan durian tidaklah seteruk seperti dikatakan sejak sekian lama. Buah tersebut tidak meningkatkan tahap kolesterol dalam tubuh, tetapi sebaliknya mempunyai banyak manfaat kesihatan.
Bagaimanapun, seperti banyak makanan lain, adalah penting bagi kita menikmati durian secara sederhana. Jika kita mempunyai masalah kesihatan, elok berbincang dengan doktor sebelum membuat sebarang perubahan pada cara pemakanan membabitkan durian.
Rujukan:
- https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6463093/
- https://www.nnc.gov.ph/regional-offices/mindanao/region-ix-zamboanga-peninsula/5966-durian-is-loaded-with-cholesterol-a-fact-or-a-myth
- https://www.healthxchange.sg/food-nutrition/food-tips/durian-myths-facts
-BTS Media